Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Seorang pegawai polis Bukit Aman berkata, Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) "berangan-angan" untuk menggunakan bahan kimia berbau busuk pada meriam air bagi menyuraikan peserta perhimpunan.

ACP Jamaluddin Abdul Rahman yang bertugas di Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman berkata, perkara itu bagaimanapun masih belum dikaji.

NONE "Kita sedang berfikir untuk (kaedah) pencegahan ini. Kita mungkin gunakan yang berbau, yang manusia tak suka.

"Kita tembak, bila dia rasa busuk, nak pergi pusat membeli belah dah tak boleh. Dia akan (terus) balik rumah.

"Kita akan minta orang untuk cipta. Kita cuma angan-angan sahaja. Idea itu belum ada kajian," kata Jamaluddin ketika memberi penerangan kepada panel siasatan awam perhimpunan BERSIH 3.0.

Panel Suhakam seterusnya meminta Jamaluddin menjelaskan sama ada cecair berbau busuk itu pernah digunakan di mana-mana negara.

Jamaluddin berkata, beliau tidak pasti sama ada ia pernah digunakan di negara lain, namun berpendapat ia mungkin boleh berkesan untuk tujuan penyuraian.

NONE "Kita tembak guna air kosong, mereka tak lari. Pakai air yang ada warna pun sama juga. Mungkin patut yang ada bau busuk," katanya dengan berseloroh.

Dalam penerangannya itu, Jamaluddin antara lainnya menjelaskan mengenai jenis cecair dan kaedah untuk mengendalikan trak meriam air milik FRU.

Dalam sesi lawatan selama kira-kira dua jam itu, anggota panel Suhakam turut ditunjukkan demonstrasi tembakan gas pemedih mata FRU dan prosedur arahan yang dilakukan pasukan itu sebelum melepaskan gas dan meriam air.

Selain itu, panel itu juga meneliti contoh kesan tapak kasut anggota FRU sebagai perbandingan kepada dakwaan seorang peserta perhimpunan didakwa dipijak anggota pasukan itu.

Jamaluddin berkata, anggota FRU hanya melepaskan tembakan ke arah atas kumpulan peserta perhimpunan – yang membolehkan kanister gas tersebut dilepaskan ke jarak sehingga 100 hingga 150 meter.

NONE "Mereka akan tembak ke atas, peluru akan berasap di udara, baru jatuh. Sepanjang perhimpunan BERSIH 3.0 kita hanya tembak ke atas.

"Tak ada tembakan ke depan atau ke bawah," katanya ketika diminta menjelaskan dakwaan seorang peserta perhimpunan, Chong Min Shih, yang mengadu cedera akibat terkena tembakan kanister gas.

Menurut Jamaluddin lagi, pada perhimpunan BERSIH 3.0, penggunaan peluru bagi gas pemedih mata adalah paling terbanyak iaitu 900 peluru- berbanding perhimpunan BERSIH sebelum itu.

Jamaluddin menjelaskan ini kerana jumlah peserta yang lebih besar berbanding perhimpunan lain.

"Dalam tempoh lima jam, dengan empat pasukan, sebanyak 900 peluru digunakan. Ini kita lakukan tembakan secara berkala.

bersih 3 rally 020512 two protesters in tear gas "Ini antara terbanyak kita guna kerana banyak tempat dan jumlah peserta yang lebih banyak," katanya lagi.

Pada sesi lawatan itu, Jamaluddin dibantu oleh Pegawai Pemerintah Unit 1 FRU, Supt Zahri Mohd Yusoff untuk memberi penerangan.

Semasa perhimpunan BERSIH 3.0 lalu, Zahri merupakan orang yang bertanggungjawab memasang wayar berduri (razor wire) di enam buah lokasi berhampiran Dataran Merdeka.

Sesi lawatan ke Kompleks FRU di Kuala Lumpur hari ini diketuai oleh Pesuruhjaya Suhakam, Profesor Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid dan Detta Samen.

Lawatan tersebut merupakan sebahagian daripada siasatan awam berkenaan dakwaan pelanggaran hak asasi manusia semasa dan selepas perhimpunan pada 28 April lalu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS