Kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) telah menandatangani kerangka perjanjian damai secara rasmi di Istana Malacanang di Manila hari ini bagi mengakhiri konflik lebih 40 tahun di wilayah selatan Filipina.
Detik bersejarah bagi memulakan proses penubuhan wilayah
autonomi Bangsamoro itu turut disaksikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Filipina, Benigno Aquino III, pada pukul 3 petang waktu tempatan.
Majlis yang turut disaksikan oleh Ketua MILF, Murad Ebrahim itu ditandatangani oleh wakil kerajaan Filipina, Marvic Leonen dan Ketua
Perundingan Damai MILF, Mohagher Iqbal.
Malaysia menjadi pengantara perundingan damai antara kedua-dua pihak itu sejak 2001 sehingga perjanjian awal untuk perdamaian dicapai di Kuala Lumpur dalam rundingan dari 2 hingga 7 Oktober lepas.
Kedua-dua ketua kerajaan itu memuji perjanjian damai itu dengan
Aquino menyifatkan ia sebagai membuka lembaran baru dalam sejarah negara itu manakala Najib berkata penduduk Bangsamoro memang berhak kepada keamanan.
Perdana Menteri, yang tiba bersama isteri Datin Seri Rosmah Mansor tiba di Manila semalam, berkata perjanjian itu merupakan peluang bagi memastikan penduduk Bangsamoro dapat menikmati manfaat daripada hasil perdamaian.
Bercakap di majlis itu di Dewan Rizal, istana itu, Najib berkata perjanjian tersebut merupakan peluang bagi mengembalikan semula martabat penduduk wilayah selatan Filipina ekoran pegolakan selama empat dekad.
Sambil memberi jaminan Malaysia berdiri bersama rakyat Filipina
dalam memastikan kerangka perjanjian damai berjalan lancar, Najib, semasa dalam ucapan 15 minit itu, berkata Kuala Lumpur sedia bertindak sebagai rakan dalam membantu merealisasikan sepenuhnya perjanjian perdamaian itu.
"Adalah menjadi harapan besar bahawa perjanjian ini membawa kepada era kesederhanaan baru yang mana amalan agama dan hak untuk hidup bersama tidak lagi menjadi isu konflik. Penduduk berbagai agama hidup bersama, disatukan dengan nilai-nilai sama di bawah perlembagaan sama.
"Perjanjian yang kita saksikan hari ini menandakan permulaan era baru di selatan Filipina. Saya mengucapkan tahniah kepada mereka yang menjayakan usaha ini dan saya tidak sabar-sabar menanti perjanjian muktamad nanti," kata Najib.
Majlis penuh bersejarah itu menandakan era baru dalam proses
perdamaian di Mindanao yang mana pergolakan selama lebih 40 tahun itu telah meragut hampir 150,000 nyawa.
Kerangka perjanjian yang disifatkan sebagai 'perjanjian teras' itu bertindak sebagai pelan damai bagi penubuhan entiti baru Bangsamoro yang bakal menggantikan Wilayah Autonomi Islam Mindanao.
"Kerangka di depan kita akan membawa kepada akhirnya keganasan yang mengorbankan banyak nyawa dan memendekkan banyak peluang untuk masa depan. Ia akan melindungi hak penduduk Bangsamoro dan memelihara kedaulatan dan integriti wilayah Filipina.
"Ianya asas kukuh yang mana keamanan berkekalan boleh dibina," kata Najib yang mana ucapannya menerima tepukan gemuruh daripada hadiran yang membanjiri dewan tersebut.
Majlis menandatangani itu didahului dengan lagu kebangsaan Filipina dan disusuli dengan bacaan doa mengikut agama Islam dan Kristian.
- Bernama