Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

LAPORAN AUDIT Dua syarikat kerajaan Rangkaian Pengangkutan Deras Sdn Bhd (RapidKL) dan Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) mengalami kerugian lebih RM1 bilion sehingga akhir 2010, demikian menurut Laporan Ketua Audit Negara 2011.

Menurut laporan itu, IWK terus mengalami kerugian sehingga mencatatkan angka RM888.81 juta sehingga akhir 2010, manakala RapidKL pula mengalami kerugian terkumpul RM293.82 juta antara 2008 hingga 2010.

Laporan yang dibentangkan di Parlimen hari ini antaranya menunjukkan IWK menanggung kerugian akibat terlalu bergantung kepada subsidi kerajaan untuk menampung perbelanjaan operasi yang semakin meningkat.

RapidKL pula dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini hanya mencacatkan keuntungan pada tahun 2009 selepas mendapat peruntukan kerajaan berjumlah RM112.23 juta bawah pakej rangsangan ekonomi.

Audit juga mendapati terdapat kelemahan pengurusan dokumen kewangan serta kawalan dalaman sistem kutipannya.

Maklum balas RapidKL dalam laporan tersebut menyebut, kerugian yang dialami itu berpunca daripada kos pekerja dan kos penyelenggaraan yang sentiasa meningkat.

Selain itu, syarikat itu juga tidak pernah meningkatkan kadar tambang sejak mula beroperasi pada 2005 dan menganggarkan keadaan kewangan yang "lebih sukar" bagi membiayai perbelanjaan operasi sekiranya tidak menaikkan kadar tambang tren dan bas.

Syarikat itu juga akan terus memerlukan bantuan berterusan daripada Prasarana dan kerajaan sekirana tidak berbuat demikian, menurut maklum balas itu.

Bagaimanapun, syarikat itu berikrar untuk terus memperbaiki kedudukan kewangan syarikat serta memastikan semua inisiatif untuk meningkatkan pendapatan dan mengurangkan kos operasi berjalan lancar.

IWK pula dalam maklum balasnya kepada Jabatan Audit menyebut, prestasi kewangannya kurang memuaskan sejak tiga tahun lalu kerana kadar tarif pembetungan yang rendah sedangkan kos operasinya meningkat saban tahun.

Penyata kewangan IWK yang diaudit menunjukkan peningkatan dalam pendapatan berjumlah RM156.03 juta (27.5%) bagi tahun 2009 berbanding tahun sebelumnya, namun mengalami penurunan pendapatan pada tahun 2010 berjumlah RM105.34 juta (14.6%) disebabkan faktor berkenaan.

Menurut laporan itu, kadar tarif pembentungan negara tidak pernah dinaikkan sejak tahun 1994, malah diturunkan kerajaan pada tahun 2004 akibat rungutan pelanggan.

Kerajaan juga menyalurkan subsidi berjumlah RM1.32 bilion dari tahun 2001 hingga 2011 bagi menampung defisit kos operasi tersebut.

IWK kemudiannya tidak lagi bertanggungjawab ke atas perkhidmatan untuk tangki septik individu dan komunal apabila  Akta Industri Perkhidmatan Air dikuatkuasakan pada 2008.

"Ini menyebabkan pendapatan IWK terus menurun akibat kehilangan anggaran 11,348 pelanggan tangki septik individu," kata laporan itu.

Syarikat itu juga menyatakan untuk menjalan usaha berterusan bagi meningkatkan hasil dan mengurangkan kos dengan memperkenalkan beberapa inisiatif seperti perlaksanaan Continous Improvement Projects (CIP).

"Perlaksanaan CIP yang dimulakan pada bulan Februari 2012 akan siap pada 31 Januari 2013 dan seterusnya pada setiap tahun. Kajian telah dibuat dengan pihak berkenaan untuk penyelarasan semula struktur dan kadar tarif pembetungan.

Menurut laporan itu lagi, cadangan Semakan Semula Kadar Tarif ini dijangka akan dibentangkan oleh pihak kementeritan tenaga teknogi hijau dan air kepada Kabinet pada 31 Disember nanti.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS