Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Hasan Ali mahu Nik Aziz lepas jawatan mursyidul am
Diterbitkan:  Oct 14, 2012 11:25 AM
Dikemaskini: 8:47 AM

Presiden NGO pro-Melayu Jalur Tiga Datuk Hasan Ali menuntut supaya mursyidul am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat – yang bertegas untuk meneruskan kerjasama PAS dengan DAP –  supaya menyerahkan jawatan tersebut kepada Datuk Haron Din yang kini menjadi timbalan mursyidul am.

Akhbar edisi hujung minggu Utusan Malaysia melaporkan, Hasan menuntut demikian untuk mengelakkan "nasi menjadi bubur" kerana ahli akar umbi PAS dakwanya menentang kerjasama dengan DAP.

"Sebelum nasi menjadi bubur, Nik Abdul Aziz wajar memikirkan untuk menyerahkan tanggungjawab besar sebagai mursyidul am kepada timbalannya yang saya yakin mempunyai kemampuan dan kewibawaan setara dengan beliau," katanya seperti dipetik akhbar milik Umno itu.

Hasan turut mengapi-apikan perkara itu dengan membangkitkan pendirian pemimpin DAP ke atas pelaksanaan hukum hudud yang dakwanya "mengguris hati dan perasaan ahli serta penyokong PAS".

"Lupakah Nik Aziz dan orang di sekeliling beliau bahawa Nik Aziz pernah beberapa kali menyanggah pendirian pengerusi DAP Karpal Singh dan penasihat DAP Lim Kit Siang yang berterusan menghina Islam dan menentang perjuangan PAS untuk melaksanakan hukum hudud?," kata Hasan lagi dalam laporan itu.

Tambahnya, beliau bimbang sokongan yang dinyatakan Nik Abdul Aziz itu menjadikan "golongan parasit menjadi lebih ganas menghentam Islam serta perjuangan Islam".

Bekas pesuruhjaya PAS Selangor itu galak menyuarakan kritikan ke atas PAS dan Pakatan Rakyat sebaik dipecat daripada parti awal tahun ini atas tindakannya yang menyalahi dan merugikan kepentingan parti.

Kenyataan itu timbul ekoran laporan media semalam berhubung kenyataan Nik Abdul Aziz yang positif ke arah kerjasama dengan DAP bagi meraih sokongan bukan Melayu dalam pilihan raya umum ke-13 akan datang.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS