Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
VP Umno: Jangan terpengaruh kajian populariti

Naib presiden UMNO Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menasihati rakyat Sabah agar tidak terpengaruh dengan hasil kaji selidik Merdeka Centre, yang mengaitkan kemerosotan tahap kepuasan pengundi Sabah dengan pimpinan kerajaan negeri.

"Apa yang penting ialah kita sama-sama bekerja keras (untuk membangunkan negeri ini) dan bukan hanya berlandaskan kepada penilaian terhadap kita," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis penutup Hari Potensi Kanak-Kanak Tabika Kemas di Dewan Sekolah Menengah Teknik Likas hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan online yang mendakwa tahap kepuasan pengundi Sabah terhadap pemimpin kerajaan negeri mengalami penurunan.

Anggota Parlimen Semporna itu yakin kerajaan sedia ada mampu melaksanakan tanggungjawabnya dengan baik dan mengajak rakyat Sabah menumpukan kepada agenda pembangunan di negeri ini.

Dalam perkembangan lain, Mohd Shafie yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, berkata kementeriannya komited untuk menyediakan pendidikan awal berkualiti untuk kanak-kanak, sama ada di bandar atau desa, sebagai asas kepada pembangunan insan yang mampu melahirkan generasi pelapis berminda kelas pertama.

Beliau berkata dalam Belanjawan 2013, kerajaan akan membelanjakan berjuta-juta ringgit bagi mempertingkat tahap pendidikan prasekolah, termasuk yang dikendali oleh Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas).

Sehubungan itu, katanya, kementerian melalui Kemas memberi peluang kepada guru Tabika Kemas berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia atau rendah untuk mengikuti Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak prasekolah, dan hasilnya, jawatan kira-kira 4,000 orang sudah dinaik taraf ke S27.

Terdahulu, dalam ucapannya, Mohd Shafie berkata sebanyak 1,360 kelas Tabika Kemas beroperasi di Sabah dengan jumlah kanak-kanak 27,014 orang.

"Penambahan dan pembukaan kelas tabika akan dilakukan dari semasa ke semasa," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS