dikemaskini Sebuah kapal induk pesawat udara berkuasa nuklear Amerika Syarikat (AS) membuat persinggahan ke Pelabuhan Klang, dilaporkan untuk mempromosi kerjasama dan hubungan dua hala negara itu dengan Malaysia.
Laporan Bernama menyebut, kapal USS George Washington yang mula ditauliahkan pada 4 Julai 1992, dengan 5,000 anak kapal itu membuat persinggahan di pelabuhan tersebut selama lima hari.
Pegawai pemerintahnya Kapten Greg Fenton dilaporkan berkata, pegawai tentera merupakan antara lebih 500 orang kenamaan Malaysia yang akan dirai dalam satu majlis di atas kapal tersebut esok.
"Tujuan utama ialah mendengar bagaimana angkatan tentera Malaysia menjalankan tugas mereka dan bagaimana kami boleh belajar daripada mereka.
"Pelayar kami menawar diri untuk menyertai enam projek komuniti ketika berada di sini bagi melibatkan diri dengan masyarakat setempat," kata Fenton seperti dilaporkan agensi berita itu.
Laporan itu juga menyebut, USS George Washington dijadual menganjurkan 11 lawatan untuk ahli perniagaan Malaysia dan pegawai tentera.
Kapal tersebut memuatkan pasukan pesawat udara Carrier Air Wing 5 yang disifatkan sebagai "pasukan siap siaga untuk bertindak yang melindungi dan mempertahankan kepentingan maritim AS dan sekutunya di rantau Asia Pasifik".