Akhbar Sinar Harian hari ini menolak dakwaan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali bahawa kenyataannya disalah lapor berhubung kemungkinan pertukaran Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim jika Pakatan Rakyat menawan Putrajaya.
Penasihat Eksekutif Editorial, Datuk Abd Jalil Ali berkata akhbar
berkenaan tidak akan memutarbelitkan fakta, sebaliknya menyiarkan setiap laporan berdasarkan kebenaran, tanpa memihak kepada mana-mana kumpulan seiring dengan motonya - "Telus dan Tulus".
"Sejak awal penerbitan akhbar ini kira-kira lima tahun lalu, adalah menjadi prinsip kamu untuk melaporkan apa sahaja berdasarkan kebenaran, bukan putar belit fakta untuk melariskan jualan," kata Abdul Jalil seperti dilaporkan Sinar Harian hari ini.
Beliau berkata temubual dengan Azmin yang juga ahli parlimen Gombak diadakan di Parlimen dan disaksikan beberapa wartawan lain.
“Apa yang kami siarkan adalah temu ramah berekod oleh wartawan dan jurugambar, tidak ada sebarang putar belit atau salah lapor. Wartawan kami boleh menunjukkan bukti apa yang dikatakan oleh YB berkenaan,” katanya.
Tanpa menyebut nama pihak tertentu, Abd Jalil menegur sikap sesetengah pihak yang sering menuduh media memutarbelitkan fakta sekirany kenyataan asal dibuat menimbulkan kesan negatif setelah disiarkan dalam media.
“Ini biasa terjadi, tetapi kami tidak berputus asa sebaliknya akan terus menegakkan profesionalisme kewartawanan dengan melaporkan kebenaran tanpa mengira laporan itu daripada pihak mana,” katanya.
Azmin sebelum ini dipetik berkata Khalid mungkin dipindahkan ke pusat sekiranya Pakatan berjaya menawan Putrajaya dalam pilihan raya umum ke-13.
Bagaimanapun, kemudiannya Azmin memberitahu Malaysiakini bahawa akhbar harian itu 'salah lapor' kenyataannya.
"Saya faham Sinar Harian mungkin ada kepentingan tertentu. Tetapi jangan laga-lagakan saya dengan Tan Sri Khalid Ibrahim.
"Saya selama ini patuh pada keputusan parti dan mendokong pentadbiran beliau," katanya ketika ditanya sama ada akan mengambil tindakan undang-undang kepada media itu.
Mungkin tukar MB: PAS kesal dengan Azmin
NGO anti-Pakatan kata Azmin 'layak' jadi MB
Tukar MB bukan pandangan Pakatan, kata Khalid