Sekurang-kurangnya tiga ahli jawatankuasa BERSIH telah disekat sementara ketika hendak menaiki penerbangan antarabangsa sejak bulan lepas.
Walaupun mereka akhirnya dibenar berlepas, tetapi Andrew Khoo, Maria Chin Abdullah dan Yeo Yang Poh berkata, ia merupakan cubaan untuk mengganggu mereka di tengah-tengah tindakan kerajaan mengetatkan pemantauan ke atas NGO.
Peguam Khoo (kiri), yang dalam perjalanan ke Bangkok untuk menghadiri satu persidangan semalam, disekat selama 20 minit di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
"Saya terpaksa menemui seorang pegawai imigresen, yang membuat panggilan telefon untuk pelepasan. Mereka kata ada fail polis dalam rekod saya," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
Beliau mengagak pihak berkuasa mungkin baru sahaja memutuskan untuk bertindak demikian kerana sebelum ini, beliau berlepas ke Filipina pada 9 September lalu tanpa sebarang masalah.
Khoo berkata beliau tidak mempunyai sebarang kes polis kecuali
berkaitan tuntutan mahkamah oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terhadap BERSIH berhubung kerosakan semasa perhimpunan 9 Julai lalu.
Begitu juga dengan aktivis Maria (atas) yang disekat oleh pegawai imigresen pada 18 September lalu ketika hendak berlepas ke Nepal melalui LCCT.
"Mereka menyekat saya selama kira-kira 20 minit. Akhirnya mereka membenarkan saya berlepas tetapi mereka beritahu, saya ada kes polis," katanya ketika dihubungi.
Katanya, walaupun ada beberapa penyiasatan polis terhadapnya
berkaitan dengan aktiviti BERSIH, tetapi beliau tidak pernah didakwa atas sebarang kesalahan.
Turut menghadapi masalah yang sama ialah Yeo (kanan), bekas Pengerusi Majlis Peguam yang tinggal di Johor Bahru dan sering ke Singapura.
"Saya mempunyai dua pengalaman pada bulan September apabila hendak ke Singapura. Mereka meminta saya pergi ke pejabat imigresen untuk pelepasan," katanya.
[Baca berita penuh]