Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pemuda pulau perbahasan AGM Gerakan esok
Diterbitkan:  Sep 29, 2012 4:39 PM
Dikemaskini: 9:25 AM

Pergerakan Pemuda Gerakan tidak akan menghantar perwakilan ke sesi perbahasan pada persidangan perwakilan nasional parti itu esok.

Langkah itu sebagai tanda bantahan terhadap badan induk parti itu yang sebelum ini dilihat telah meminggirkan pergerakan itu, kata Ketuanya Datuk Lim Si Pin.

Beliau berkata 'begitu banyak isu' dihadapi pergerakan itu ketika ini, menjadikan amat sukar bagi anggotanya yang berumur lebih 45 tahun, untuk menyertai perwakilan badan induk itu, sekali gus mewujudkan jurang antara barisan pemimpin utama parti dan anggota.

"Saya tidak salahkan mereka, mereka adalah hulubalang, hulubalang duduk bersama-sama perwakilan dalam badan induk. Sesetengah daripada mereka sudah berada di situ selama 30 atau 40 tahun.

"Oleh itu, sudah tiba masanya untuk mereka berundur dan biar orang muda pula memperjuangkan parti ke tahap lebih tinggi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan pergerakan itu

di Kuala Lumpur hari ini.

Sebelum ini, Lim berkata persidangan perwakilan nasional mempunyai dua perwakilan sayap Pemuda dari setiap negeri bagi sesi perbahasan.

Oleh yang demikian, beliau berharap dengan tindakan sedemikian diambil, perwakilan badan induk akan mengambil perhatian terhadap masalah itu dan segera menyelesaikannya.

"Ini adalah sebagai cara untuk berkata, sila ambil perhatian, kita perlu fikirkan secara serius mengenai masalah pengganti...jika kita tidak lakukannya, kita akan berdepan jurang besar antara barisan kepimpinan utama dan anggota pelapis," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS