Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar menempelak anggota dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan Ng Sue Lim kerana mendakwanya mendapat tanah untuk projek ternakan udang di kawasan Tanjung Karang selepas menjadi ahli parlimen.
Bahkan, timbalan ketua Umno Selangor itu menyifatkan tindakan Ng membangkitkan isu tersebut sebagai "menampakkan kebodohannya" dan tidak mengetahui mengenai proses permohonan tanah.
Noh menjelaskan, permohonan tanah diluluskan oleh mesyuarat exco kerajaan negeri pada 8 Mac 1995 sedangkan beliau menjadi calon ahli parlimen pada April 1995.
"Saya nampak bila ADUN DAP bercakap, nampak sangat kebodohan dia sebagai ADUN. Dia hanya tengok borang 5A (yang mengesahkan pemilikan tanah) keluar.
"Nak dapat tanah dia mesti memohon, selepas mohon, masuk ke jawatankuasa tanah, selepas jawatankuasa tanah lulus, baru masuk mesyuarat exco.
"Exco lulus, baru keluar borang 5A. Jadi saya nak cabar ADUN Sekinchan, sekarang dia jadi kerajaan, buka balik, tengok bila exco lulus permohonan tanah saya itu," katanya.
Justeru, Noh menggesa Ng menghentikan mempolitikkan isu itu kerana ia cuma menampakkan "kebodohan" diri sendiri.
"Lebih banyak dia bercakap tentang tanah udang lebih banyak nampak kebodohannya. Saya dah kata projek udang ini dah mula 16 tahun dulu, bukan sekarang... Projek mula, saya belum jadi menteri lagi," katanya.
Ng pada 26 September lalu mempertikaikan mendakwa Noh menipu berhubung pemilikan tanah seluas 12 hektar yang menjadi tapak untuk satu projek ternakan udang.
Ng mengemukakan dokumen yang didakwa membuktikan bahawa pemilikan tanah Noh ke atas tanah di Tanjung Karang itu hanya didaftarkan selepas menteri tersebut menjadi MP kawasan berkenaan pada 1995.
Sewa, bukan kerjasama
Mengulas mengenai dakwaan Ng bahawa beliau mempunyai kerjasama (join venture) dalam projek udang itu, Noh sekali lagi mengulangi bahawa ADUN Sekinchan itu "tidak faham" mengenai perkara tersebut.
"Dia fahamkah apa ertinya join venture ? Join venture ertinya dalam perjanjian ada untung rugi. Kalau join venture , berapa saya punya share?
"Saya cabar dia, berapa peratus jumlah share ... Kalau join venture , mana boleh beri pendapatan tetap. Kalau join venture , (ia) mesti memberitahu, Datuk Noh ada 30 peratus, atau 40 peratus. Dan keuntungan mesti (diberikan) berdasarkan kepada untung rugi," katanya.
Katanya, dalam borang kaveat tanah yang disebarkan memaklumkan sewaan tanah itu selama 10 tahun dan berjumlah RM25,000 setahun.
"Itulah sewa...Dia tak faham, suruh dia belajar dengan menteri besarlah. Itu pun kalau menteri besar dia faham," kata Noh sinis.