Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
KDNK sebenar 2012 berkembang kepada 5%
Diterbitkan:  Sep 28, 2012 5:57 PM
Dikemaskini: 1:17 PM

LAPORAN EKONOMI Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebenar Malaysia dijangka berkembang antara 4.5 peratus dan 5.0 peratus pada  2012 berbanding dengan 5.1 peratus pada 2011.

    

Jangkaan itu adalah dibuat setelah mengambil kira risiko yang disumbangkan oleh sektor luar dan sokongan ekonomi domestik, demikian menurut Laporan Ekonomi 2012/2013 yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan.

Kementerian Kewangan berkata ekonomi Malaysia berkembang dengan lebih kukuh pada paras 5.1 peratus dalam tempoh separuh pertama 2012 berbanding dengan 4.7 peratus pada separuh pertama 2011.

    

Katanya permintaan domestik akan menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi Malaysia, yang disokong oleh perbelanjaan sektor swasta dan awam manakala pertumbuhan penggunaan swasta dijangka disokong oleh guna tenaga dan pendapatan yang stabil serta inflasi yang lebih rendah.

    

"Semakan kenaikan gaji dan bayaran bonus kepada kakitangan awam, pemberian tunai di bawah program  Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), pembayaran ganjaran kepada peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dan pemberian tunai lain bagi membantu pelbagai kumpulan sasar turut menyokong penggunaan swasta," katanya.

    

Kementerian Kewangan juga berkata bahawa lebihan akaun semasa imbangan pembayaran (BOP) dijangka berkurangan namun kekal pada paras signifikan, iaitu RM68.5 bilion atau 7.5 peratus daripada Pendapatan Negara Kasar (PNK).

Perkembangan itu didorong oleh aktiviti domestik yang kukuh berikutan pertumbuhan import yang melebihi eksport, katanya.

Aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI), menurutnya, dijangka dapat dikekalkan tetapi pada kadar yang perlahan dan disokong oleh keyakinan pelabur terhadap inisiatif transformasi ekonomi dan asas ekonomi yang kukuh.

Kementerian Kewangan berkata inflasi dijangka sederhana pada kadar 2.0 peratus hingga 2.5 peratus pada 2012.

    

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS