Perdana menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan, kerajaan meningkatkan had pendapatan isi rumah untuk kelayakan membeli kediaman bawah Skim Rumah Pertamaku kepada RM10,000.
Kelayakan itu adalah untuk hartanah yang bernilai tidak lebih daripada RM400,000, katanya ketika dalam ucapan pembentangan Bajet 2013 di Dewan Rakyat hari ini.
Had kelayakan pendapatan untuk pembeli perseorangan dalam skim berkenaan pula ditingkatkan daripada RM3,000 kepada RM5,000.
Syarat syarat keperluan simpanan tiga bulan deposit serta tempoh minimum bekerja juga dimansuhkan, katanya.
Bagi tujuan sama, kerajaan pertuntukan RM1.9 bilion untuk bina 123,000 rumah mampu milik di kawasan strategik, katanya.
"Inisiatif ini akan dilaksanakan oleh PR1MA, Syarikat Perumahan Nasional Berhad dan Jabatan Perumahan Negara," katanya.
Seterusnya, Bernama melaporkan, PR1MA akan membelanjakan RM500 juta untuk membina 50,000 unit rumah dengan harga jualan antara RM100,000 hingga RM400,000 seunit.
PR1MA juga akan menyediakan Dana Pemudah Cara Perumahan berjumlah RM500 juta untuk membina 30,000 unit rumah secara usaha sama dengan pemaju perumahan swasta, katanya.
Harga rumah yang ditawarkan di bawah program ini adalah 20 peratus lebih rendah berbanding harga di pasaran dan proses pengagihan rumah akan dilaksanakan secara sistem pengundian terbuka, katanya.
Selain itu, sebanyak RM320 juta diperuntukkan melalui SPNB untuk membina 22,855 unit kediaman termasuk apartmen kos rendah dan sederhana, rumah mesra rakyat serta rumah mampu milik, katanya.
"Projek perumahan yang SPNB akan laksanakan segera termasuk membina 1,855 unit apartment kos sederhana dengan keluasan 850 kaki persegi di Shah Alam dan Sungai Buloh yang akan dijual pada harga sekitar RM120,00 hingga 220,000 seunit," katanya.
Bagi program Rumah Mesra Rakyat pula, Najib berkata SPNB akan membina 21,000 unit rumah untuk tahun 2013 yang berharga RM65,000 dengan subsidi sebanyak RM20,000 serta subsidi kadar faedah ke atas pinjaman sebanyak dua peratus, katanya.
Selain itu, peruntukan sejumlah RM543 juta akan disediakan untuk Jabatan Perumahan Negara melaksanakan 45 projek di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR) melibatkan 20,454 unit rumah yang akan dibina menggunakan kaedah Sistem Pembinaan Berindustri (IBS), yang akan dijual antara RM30,000 hingga RM40,000 seunit berbanding harga pasaran sekitar RM120,000 seunit.