Penasihat DAP Lim Kit Siang berkata, rakyat Malaysia bukan hanya menantikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bernilai RM500, tetapi mengharapkannya nilainya digandakan menjadi RM1,000 atau lebih dalam pengumuman belanjawan petang ini.
Lebih banyak imbuhan dan 'gula-gula' itu dijangkakan ekoran pendekatan perdana menteri Datuk Seri Najib Razak sendiri, kata Lim dalam kenyataannya semalam.
"Najib tidak boleh salahkan sesiapa kecuali dirinya sendiri. Belanjawan tahunan yang dibentangkan di Parlimen sudah menjadi acara tahunan Santa Klaus," kata Lim yang juga anggota Parlimen Ipoh Timor.
"Ini semua kerana dia tidak dapat membuat keputusan dan takut terhadap pilihan raya umum ke-13, menyebabkan dia menukar 42 bulan pemerintahannya kepada kempen pilihan raya yang berpanjangan dan tidak berkesudahan."
Lim berkata, kerajaan pimpinan BN melalui wakilnya di pelbagai peringkat sudah memberikan gambaran lebih banyak imbuhan dan gula-gula akan diberikan, termasuk BR1M dalam pilihan raya.
Jangkaan itu, termasuk kemungkinan BR1M diperluas untuk meliputi pendapatan isi rumah yang sebelum ini tidak layak untuk bantuan itu.
"Jika pembayaran BR1M kali kedua tidak lebih sekali ganda daripada bayaran terdahulu RM500 atau gagal memberi manfaat kepada 4.2 juta isi rumah yang berpendapatan bawah RM3,000, Najib, Umno dan BN patut jangkakan tindak balas buruk daripada rakyat Malaysia," katanya.
[Baca berita penuh]