Terdapat kesangsian yang tinggi terhadap percanggahan pendapat di kalangan parti-parti dalam Pakatan Rakyat dan kelemahan pentadbiran yang didedahkan oleh media, menurut tinjauan Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaysia (UMCEDEL).
Menurut kajian yang dibuat antara 1 sehingga 16 September lalu itu, sebanyak 59 peratus responden bersetuju terdapat percanggahan itu berbanding 20 peratus yang menolaknya dan 21 peratus lagi tidak pasti.
"Terdapat kesangsian yang tinggi terhadap percanggahan pendapat dalam kalangan parti-parti dalam Pakatan dan kelemahan dalam pentadbiran yang didedahkan oleh media massa," ringkasan kajian itu dipetik.
Tinjauan itu juga mendapati sebanyak 48 peratus responden bersetuju terdapat kelemahan dalam pentadbiran Pakatan ekoran dakwaan di media berbanding 29 peratus yang menolaknya dan 23 peratus lagi tidak pasti.
Seramai 1,536 responden terlibat dalam tinjauan itu dengan etnik Melayu sebanyak 68 peratus, Cina dengan 25 peratus dan India 7 peratus. Sebahagian besar terdiri antara umur 21 hingga 30 tahun.
Sementara itu, penemuan lain dalam kajian itu juga merumuskan:
- Terdapat peningkatan yang berterusan sokongan terhadap kerajaan pimpinan Pakatan di Selangor.
- Kerajaan Pakatan di Kedah juga mengalami peningkatan sokongan.
- Kemerosotan sokongan kepada kerajaan PAS di Kelantan.