Pengerusi kumpulan mahasiswa antikemapanan Pro-Mahasiswa Universiti Malaya (UM) Edikoup Lakip Sediyanto membuat laporan polis mendakwa diserang sekumpulan individu tidak dikenali di Petaling Jaya awal pagi tadi.
Edikoup berkata, kejadian pada jam 4 pagi di Seksyen 17 itu bermula apabila motosikal yang dipandunya dihadang sebuah kereta, sebelum beliau diheret dari motosikal ke bahu jalan dan diserang.
"Setelah itu, turun seorang yang berbadan besar menghayun topi keledar ke badan saya sehingga saya terjatuh dari motosikal.
"Setelah itu, mereka memukul saya, menghentak kepala saya dengan topi keledar sehinggalah saya dipukul, ditumbuk, diterajang di perut dan sebagainya.
"Setelah puas memukul saya mereka melarikan diri. Saya kesakitan di muka dan badan," laporan polisnya dipetik.
Edikoup berkata, lima individu terlibat memukulnya.
Sidang media di wad kecemasan
Dalam laporannya juga, Edikoup berkata, beliau sebelum itu, sekitar jam 12 tengah malam telah diugut tiga lelaki lain di Lebuh Raya Mahameru Kuala Lumpur.
"Mereka seramai 3 orang telah mengancam saya dan mendakwa saya seolah ada membuat masalah dengan mereka tetapi saya langsung tidak memahami apa yang mereka maksudkan," katanya dalam laporan itu lagi.
Beliau kini sedang mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
Setakat ini, masih tidak dapat dipastikan sama ada insiden itu berkaitan pilihan raya kampus atau tidak.
Proses pengundian hari ini berlangsung di lebih 15 institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS), termasuk universiti utama di Lembah Klang.
Pro-Mahasiswa UM dijadual mengadakan sidang media di wad kecemasan PPUM pagi ini.
Kesan lebam
Edikoup ketika ditemui di Pusat Perubatan Universti Malaya (PPUM) selepas menerima rawatan kira-kira jam 11.30 pagi ini, didapati berada dalam keadaan letih dan lemah.
Beliau yang berkerusi roda berkata, luka di bahagian pipi kanannya dipercayai ditumbuk dan terdapat kesan lebam di bahagian dahi.
"Setakat ini badan rasa sengal-sengal... Saya kena pukul oleh lima orang, seluruh badan sakit-sakit," katanya yang berkerusi roda.
Satu arahan perubatan yang dikeluarkan PPUM menyebut, beliau baru mengalami kecederaan di kepala dan memerlukan pemerhatian setiap dua jam selama 24 jam.