Aktivis pro-Mahasiswa hari ini mendakwa, enam orang calon mereka menerima ugutan bunuh agar tidak mengambil bahagian dalam pilihan raya kampus UKM.
Jurucakapnya, Muhamad Azan Safar dalam satu sidang media di bangunan Parlimen hari ini mendakwa, ugutan berkenaan disampaikan kepada anggota keluarga calon pro-Mahasiswa berkenaan.
"Bermula pagi tadi sampai sekarang, enam calon dapat ugutan akan dibunuh sekiranya bertanding," kata Muhamad Azan, seorang mahasiswa tahun akhir Fakulti Pengajian Islam UKM.
Dakwanya, setiap keluarga calon berkenaan menerima ugutan dalam sela masa satu jam dan menjangkakan calon lain juga akan menerima ugutan yang sama.
Menurut Azan, ugutan yang sama turut diterima keluarga calon di Kelantan, Melaka, Selangor, dan Perlis.
Dalam sidang media sama, seorang lagi jurucakap pro-Mahasiswa Ahmad Afifi Zulkifli berkata, setakat ini dua laporan polis dibuat di Selangor dan Kedah.
Ketika dihubungi, polis di Sungai Tiang, Kedah mengesahkan menerima aduan namun enggan mendedahkan kandungan dakwaan terbabit.
Selain itu, aktivis berkenaan juga mendakwa beberapa kain rentang kempen mereka disimbah dengan cat merah oleh individu yang tidak dikenali.
Mereka menuntut Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UKM, Prof Dr Osman A Karim bertanggungjawab menghentikan gangguan berkenaan.
"Kepada TNC HEPA kami menuntut supaya beliau menafikan perkara ini," kata Ahmad Afifi.
Pro-Aspirasi, ikatan mahasiswa pro-kerajaan, mencatat kemenangan besar di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Teknikal Malaysia (UteM) dan Universiti Tun Hussein Malaysia (UTHM), pada pilihan raya kampus 20 September lalu.
15 lagi pusat pengajian tinggi lain akan membuang undi mereka esok.