MP Kota Kinabalu Dr Hiew King Cheu berkata kerajaan tidak sepatutnya tunduk kepada tuntutan kedutaan asing bagi menempatkan pemandu pelancong dari negara berkenaan di Sabah.
Katanya, tindakan tersebut menjejaskan pendapatan pemandu pelancong tempatan dan menunjukkan kegagalan kerajaan dalam menyediakan kursus kepada warga tempatan.
Beliau mengulas pengumuman Menteri Pelancongan Datuk Seri Ng Yen Yen untuk membenarkan warganegara Korea bekerja sebagai pemandu pelancong di Sabah.
Mengulas lanjut, Hiew berkata beliau yakin pemandu pelancong tempatan mampu berkomunikasi dalam bahasa Korea sekiranya kerajaan menyediakan kursus berkaitan.
"Untuk mempelajari bahasa asing adalah mudah dan sekiranya kursus khas disediakan oleh kementerian pelancongan, kita akan dapat memastikan terdapatnya ramai pemandu pelancong berbahasa Korea di Malaysia.
"Bagaimanakah kita boleh membenarkan orang asing datang ke tempat kita dan memperkenalkan tarikan pelancongan yang kita ada sedangkan ia boleh dilakukan oleh orang kita?
"Ini hanya membawa malu kepada orang tempatan. Bayangkan sahaja, sekiranya rakyat Korea dibenarkan untuk berbuat demikian, negara asing lain juga akan berbuat perkara yang sama," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, pengerusi Persatuan Pemandu Pelancong Sabah (PPPS) Daniel Doughty pula berkata, persatuan itu pernah memohon untuk membuat perbincangan dengan kementerian berhubung isu tersebut, namun tiada rundingan dibuat.
Sedangkan, PPPS berpengalaman menghasilkan pemandu pelancong tempatan yang mampu bertutur dalam bahasa Jepun, katanya seperti dilaporkan akhbar The New Straits Times .
"Sekiranya mereka berbincang dengan kami, kami akan mencadangkan cara yang terbaik adalah dengan mengikuti cara bagaimana kami menghasilkan ramai pemandu pelancong berbahasa Jepun.”
"Sekarang, kami terpaksa bersaing dengan orang asing untuk sumber pendapatan. Ini benar-benar mematahkan semangat pada mereka yang berada dalam profesyen ini,” katanya seperti dipetik akhbar itu.
Laporan itu menyebut, jumlah pengunjung dari Korea ke Sabah meningkat kepada 48,000 orang dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, berbanding jumlah 36,000 orang dalam tempoh sama tahun lalu.
Dalam satu laporan portal Daily Express semalam, Ng berkata kerajaan membenarkan warga asing menjadi pemandu pelancong bagi memenuhi permintaan daripada kedutaan negara berkenaan di Malaysia.
Mengulas kebimbangan PPPS itu, Ng berkata, tindakan itu hanyalah satu langkah sementara sehingga industri pelancongan termpatan mampu menyediakan lebih ramai pemandu pelancong yang mampu berkomunikasi dalam bahasa Korea.