Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
DPPM: Teguran Sultan Johor perlu diberi perhatian penting
Diterbitkan:  Sep 11, 2012 9:20 AM
Dikemaskini: 10:34 AM

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) meminta kerajaan memandang serius dan menyiasat dakwaan sama ada wujudnya amalan rasuah dan ketirisan dalam pembekalan kelengkapan tentera kepada pasukan elit Kor Gerak Khas angkatan tentera.

Ini berikutan titah ucapan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ismail Sultan Iskandar yang murka ke atas pembekalan kelengkapan tidak bermutu kepada pasukan elit Kor Gerak Khas angkatan tentera.

NONE "Sepatutnya kerajaan merasa malu dengan keluhan hati Sultan Johor sehingga baginda terpaksa membangkitkan perkara ini di ruang media secara terbuka," kata Naib Ketua DPPM, Dr Raja Ahmad Raja Yaacob ( kanan ).

"Sebagai ketua bagi pasukan tersebut, baginda wajar membangkitkan rasa tidak puas hati mewakili seluruh anggota pasukan baginda sendiri.

"Apa yang dizahirkan oleh Sultan Johor adalah suatu kebimbangan terhadap amalan rasuah dan ketirisan yang mungkin berlaku dan menyerap masuk dalam dalam projek membekalkan kelengkapan peralatan tentera sehingga anggota pasukan elit itu menjadi mangsanya," katanya dalam satu kenyataan.

'Kaji semula pemberian kontrak'

DPPM, katanya, bersetuju dengan teguran baginda supaya kementerian pertahanan memantau setiap perolehan kelengkapan berkenaan bagi memastikan ia menepati keperluan pasukan dan menjamin tahap kualitinya.

"Kerajaan juga beri perhatian terhadap teguran baginda supaya tidak ada pihak yang cuba mengambil kesempatan untuk kepentingan peribadi dalam usaha melengkapkan pasukan Gerak Khas dengan peralatan terkini dan moden," tambahnya.

Justeru, katanya, DPPM mendesak kerajaan supaya mengkaji balik pemberian kontrak pembekalan kelengkapan tentera.

"Kontrak pembekalan kelengkapan tentera pula perlu dibuat secara tender terbuka dan menyerahkannya kepada mereka yang benar-benar berhak dan layak," tambahnya.

Selain itu, kata Dr Raja Ahmad, hanya kelengkapan yang memenuhi kualiti yang ditetapkan sahaja boleh diluluskan dengan melihat kepada teknologi semasa bagi menunjukkan kekuatan keselamatan negara serta menakutkan kepada musuh-musuh negara.

"Jangan nanti negara lain mentertawakan tahap keselamatan negara kerana masih menggunakan peralatan yang usang, lupus tarikh dan ketinggalan zaman bagi menghadapi pertempuran," tambahnya.

 

Zahid Hamidi: Isu harga RIV untuk elit tentera disiasat

Sultan Johor murka tentera dibekal alat tak bermutu

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS