Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pelajar terselamat cubaan rogol di tandas universiti
Diterbitkan:  Sep 10, 2012 10:45 PM
Dikemaskini: 2:47 PM

Seorang pelajar sebuah universiti swasta terselamat daripada cubaan rogol di dalam tandas wanita universiti itu di Bukit Beruang di Melaka semalam.

    

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka ACP Raja Shahrom Raja Abdullah berkata dalam kejadian pada jam 8.30 malam itu, pelajar wanita berusia 21 tahun itu sedang mengulang kaji pelajaran di bilik bacaan, di aras dua universiti berkenaan, sebelum ke bilik air di aras sama.

    

"Pelajar berkenaan kemudian terdengar seseorang memasuki tandas bersebelahan dan apabila keluar dia melihat kelibat seorang lelaki, sebelum matanya disembur dengan bahan memedihkan," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

    

Mangsa turut cedera di pipi akibat ditumbuk ketika bergelut dengan suspek yang cuba memasukkan tangan ke dalam bajunya.

    

Raja Shahrom berkata lelaki terbabit melarikan diri selepas mangsa menjerit  meminta pertolongan.

    

Mangsa mendapatkan rawatan di Hospital Melaka dan membuat laporan di balai polis di hospital tersebut.

Sementara itu, Ketua Polis Melaka Datuk Chuah Ghee Lye berkata polis akan mengadakan pertemuan khas dengan pihak universiti bagi membincangkan langkah meningkatkan kawalan keselamatan di universiti berkenaan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS