Kerajaan tidak mengamalkan kuota mengikut negeri untuk menentukan jumlah jemaah haji setiap negeri menunaikan fardhu haji di tanah suci Mekah tetapi berdasarkan prinsip siapa mendaftar dulu didahulukan.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, penggunaan sistem kuota mengikut negeri akan menimbulkan banyak masalah.
"Sistem yang kita gunakan ini mudah dan praktikal... siapa daftar dulu dia pergi dulu tidak kira dia berasal dari mana," katanya semasa diminta mengulas laporan akhbar di Sarawak baru-baru ini yang memetik Majlis Agama Islam Sarawak tidak berpuas hati kerana Tabung Haji mengurangkan kuota jemaah haji negeri itu.
Beliau ditemui selepas perasmian kursus Perdana Haji peringkat negeri Kedah oleh anggota Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tan Sri Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah di Dewan Wawasan di Jitra malam tadi.
Laporan beberapa akhbar Sarawak menyebut jemaah Sarawak dikurangkan daripada 1,000 orang kepada 800 dan terkini 600 orang sahaja.
Jamil Khir berkata soal kuota negeri atau kawasan seharusnya tidak timbul kerana jumlah jemaah haji setiap negeri tidak pernah dikurangkan atau diambil oleh Tabung Haji.
Katanya jika kebetulan jemaah sesuatu negeri mendaftar tahun ini berkurangan dan negeri lain lebih banyak maka nama mereka dalam senarai Tabung Haji akan naik dalam senarai teratas.
"Kita harus ingat tidak semua rakyat sesebuah negeri akan bertolak ke tanah suci dari negeri asal mereka kerana ramai yang bertolak dari Kuala Lumpur atau tempat lain di mana mereka bekerja," tambahnya.
Mengenai kuota haji tambahan yang dipohon Malaysia, beliau berkata kerajaan Arab Saudi belum memberi kata putus namun akan terus berhubung dengan pihak berkuasa negara itu untuk mendapatkan keputusan.
"Kita tidak tahu apa halangan sehingga mereka (Arab Saudi) tidak menyatakan keputusan lebih awal. Kita pula janganlah timbulkan perkara yang memberi tanda yang membimbangkan dan boleh menyebabkan kerajaan Arab Saudi tidak yakin dengan Malaysia agar permohonan kita tidak terjejas," jelasnya.
Dalam ucapannya sebelum itu beliau berkata jumlah yang mendaftar untuk menunaikan fardhu haji dengan Tabung Haji sekarang berjumlah 935,000 orang sedangkan kuota semusim hanya 28,000 orang.
"Saya rayu mereka yang telah menunaikan rukun Islam kelima ini supaya memberi peluang kepada orang lain. Pergilah buat umrah sebanyak mana pun."
Katanya penerbangan jemaah pertama ke tanah suci Mekah akan berlepas pada 17 September dan terakhir pada 19 Oktober manakala wukuf pada 25 Oktober. Penerbangan pulang terakhir pula dijangka pada 29 November.
Sementara itu, Tunku Sallehuddin dalam ucapannya mengingatkan jemaah haji Kedah supaya bersyukur dan menjaga kelakuan semasa berada di tanah suci Mekah.
"Syukurlah anda semua terpilih menjadi tetamu Allah pada tahun ini. Ramai lagi yang menunggu giliran. Jadi jagalah nama Malaysia sebagai negara Islam yang jemaah hajinya dihormati kerajaan Arab Saudi.
"Tunjukkanlah komitmen untuk mendapatkan haji mabrur di samping menjaga kesihatan, sentiasa bersabar dan berdoa kepada Allah SWT," katanya.
Lebih 2,400 bakal jemaah dari hampir 2,700 jemaah negeri ini menghadiri kursus dua hari itu bermula semalam.
- Bernama