Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) mengesahkan telah memutuskan untuk mengeluarkan Lesen Pengendalian Sementara (TOL) kepada Lynas bagi tempoh dua tahun berkuatkuasa dari 3 September 2012.
Menurutnya, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat AELB dalam Isnin lalu.
"TOL ini akan membolehkan Lynas sebagai percubaan mengilang bahan mentah pekatan lanthanid secara berperingkat dan terhad serta dikawalselia secara berterusan oleh agensi penguatkuasa AELB," kata kenyataan setiausaha eksekutif AELB hari ini.
Menurutnya, AELB dalam mesyuaratnya pada 30 Januari 2012 telah memutuskan agar permohonan TOL syarikat Lynas (Malaysia) Sdn. Bhd. (Lynas), diluluskan tertakluk kepada beberapa syarat.
"Walau bagaimanapun, TOL tidak dikeluarkan kerana Lynas perlu mematuhi syarat tambahan yang dibuat di bawah Akta 304 dan perundangan subsidiarinya," tambahnya.
Menurutnya, AELB dalam mesyuaratnya pada hari Isnin lalu, telah berpuashati bahawa Lynas telah mematuhi semua aspek teknikal, termasuk kaedah kawalan debu serta imobilisasi bahan radioaktif dalam residu, dan keperluan perundangan yang ditetapkan.
"Lembaga juga mengambil maklum bahawa Lynas telah membuat komitmen untuk membawa residu Water Leach Purification (WLP) yang terhasil dalam projek LAMP
keluar daripada Malaysia dalam bentuk produk komersial.
"Sehubungan itu, Lembaga telah memutuskan untuk mengeluarkan TOL kepada Lynas bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa dari 3 September 2012 sehingga 2 September 2014," tambahnya.