DAP Johor hari ini mempersoalkan pengumuman kerajaan untuk mengambil alih lebuh raya Lingkaran Penyuraian Timur (EDL) Johor Baharu, termasuk membayar kos pembinaan kepada konsesi.
"DAP Johor berpandangan, sama ada pengguna atau pembayar cukai tidak patut menanggung kos pembinaan EDL," kata pengerusinya Boo Cheng Hau dalam kenyataannya hari ini.
Sebaliknya, kata Boo, Plus Bhd patut membayar kos itu, kerana "syarikat berkaitan Umno" itu sudah mengutip wang daripada plaza tol Johor Bahru sejak 20 tahun lalu.
Kerajaan pada 30 Ogos dilapor memutuskan untuk mengambil alih EDL Johor Baharu daripada Malaysian Resources Corp Bhd (MRCB) untuk menyelesaikan isu-isu berkaitan dengan dasar dan caj tol bagi lebuh raya itu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata keputusan ini dibuat oleh kabinet bulan lepas dan kos serta syarat-syarat pembelian sedang dibincangkan dan kos dan syaratnya dijangka dimaklumkan akhir tahun ini.
Katanya, kerajaan akan melihat cara untuk menguruskannya dan terdapat kemungkinan lebuh raya itu tidak akan dikenakan sebarang tol.
"Kerajaan akan membuat keputusan berhubung perkara ini kemudiannya tetapi ini bukan isu mendesak kerana ia akan diambil alih oleh kerajaan, berbanding sektor swasta yang perlu mengenakan tol," beliau dipetik berkata kepada pemberita di Putrajaya.
Terdahulu MRCB berkata syarikat itu terbuka dengan sebarang opsyen termasuk menjual EDL, yang dibangunkan oleh anak syarikat milik penuhnya MRCB Lingkaran Selatan Sdn Bhd (MLSSB), kepada kerajaan dalam usaha menyelesaikan isu mengenai caj tol.