Rakyat perlu mempertahankan nikmat kemerdekaan yang dikecapi sejak 55 tahun lepas sambil memastikan negara berada dalam keadaan stabil, kata Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Beliau menarik perhatian bahawa ini perlu dilakukan tatkala wujud elemen dalam negara ini sendiri yang cuba meruntuhkan keharmonian yang dirasai sejak sekian lama.
"Kita kena pertahankan apa yang kita ada sekarang ini...ada segelintir pihak yang dilihat semakin melampau sampai nak tukar Perlembagaan negara dan bendera.
"Ini menunjukkan mungkin mereka akan buat negara republik (bagi Malaysia)," katanya ketika berucap pada perasmian Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Pengkalan Chepa dan Majlis Hari Raya Parlimen Pengkalan Chepa di Kota Bharu, hari ini.
Persidangan itu dirasmikan Naib Presiden Umno merangkap Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang turut dihadiri Ketua Umno Bahagian Pengkalan Chepa Datuk Dali Hussin.
Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata keupayaan pemimpin negara membangunkan Malaysia dipandang tinggi oleh masyarakat luar, malah sering dijadikan contoh oleh negara-negara sedang membangun.
"Presiden Mesir Mohamed Morsi baru-baru ini kata Malaysia wajar dijadikan negara contoh di rantau Arab. Orang luar puji Malaysia tapi orang kita sendiri perlekeh," kata Mustapa.
Beliau turut meminta rakyat supaya menolak 'fatwa' yang dikeluarkan sesetengah ahli politik sehingga sanggup mengenepikan agama semata-mata untuk meraih sokongan.
"Fatwa (mereka) kata menyertai demonstrasi itu wajib...itu fatwa songsang. Cuba bayangkan kalau perhimpunan haram yang dibuat itu (menyaksikan) berlaku pertumpahan darah. Apa yang akan berlaku?
"(Bagaimanapun) tanda-tanda perubahan semakin hari semakin jelas di negeri ini dan perkara (inisiatif) yang dibuat oleh Perdana Menteri kita akan diteruskan," katanya.
- Bernama