Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Puisi Pak Samad seru raikan 'Janji Demokrasi'
Diterbitkan:  Aug 30, 2012 5:01 PM
Dikemaskini: 9:41 AM

Sasterawan negara Datuk A Samad Said hari ini menyiarkan satu puisi khas sempena perhimpunan Janji Demokrasi di Dataran Merdeka malam ini.

NONE Puisi berkenaan, yang dimuatkan di laman Facebook, antara lainnya menggesa supaya orang ramai memakai pakaian berwarna kuning sebagai simbolik tuntutan dalam perhimpunan itu.

A Samad yang popular dengan gelaran Pak Samad juga menyeru pembacanya supaya meraikan sambutan berkenaan walau "dihindar untuk mengalir ke Dataran".

Tulisan berkenaan dipercayai merujuk kepada tekanan oleh pihak berkuasa kepada rancangan 47 NGO yang dipimpinnya untuk berhimpun pada malam ini.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Rais Yatim semalam dilaporkan mengalu-alukan rancangan NGO tersebut untuk memenuhi Dataran malam ini dengan berbaju kuning.

Bagaimanapun, polis hari ini mengumumkan bahawa perhimpunan tersebut bertentangan dengan undang-undang negara.

Berikut adalah petikan penuh puisi A Samad berjudul "Janji Demokrasi":

Malam amatlah indah walaupun kalbu masih terdera,

kita terpaksa menyambut senyum demokrasi yang lara.

Dataran Merdeka tak lagi dipupuk gah sejarahnya

kerana tak digalak ia untuk lebih bersejarah.

Kini di mana-mana sajalah Dataran Suara kita!

Angin sejarah yang tulen kini makin berhembus kencang

mencanda panji negara yang berkibar girang dan garang;

dan seragam gelombang kuning – diri kita yang sejati –

menghimpun azam dan tekad untuk tulus damai berbakti,

menjeritkan: Janji Demokrasi, ya, Janji Demokrasi!

Kita mulai dihindar untuk mengalir ke Dataran;

di mana sajalah kini kita rai kemerdekaan.

Kita enggan menjadi wira ciplakan di dalam mimpi.

Kita laungkan jerit senyaringnya: “Janji Demokrasi!”

sehinggalah janji itu turut menjeritnya sendiri!


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS