ULASAN Isu hudud dalam negara kita sering kali dipolitikkan atas pelbagai kepentingan. Umno dalam rekodnya tidak bersetuju cadangan hudud yang PAS bawa.
Ketidaksetujuan itu boleh ditafsirkan atas pelbagai alasan; ada yang munasabah dan ada yang tidak munasabah. Hari ini nampaknya Umno macam mula berubah.
PAS sejak dahulu menyebut tentang perlaksanaan hudud sehingga kelihatan pada mata umum PAS dan hudud bagaikan isi dan kulit. Seolah-olah matlamat utama kenegaraan PAS ialah menegakkan hudud.
Ini agak menarik, di kala kebanyakan gerakan Islam di seluruh dunia tidak lagi memperkatakan tentang undang-undang jenayah hudud, PAS masih.
Gerakan-gerakan Islam yang mendapat kerajaan di Mesir, HAMAS di Palestin, di Libya dan Tunisia meninggalkan tajuk hudud buat masa ini, tetapi PAS terus dengan slogannya.
Pertikai Hukum
Saya meyakini keikhlasan YAB TG Nik Abd Aziz Nik Mat. Saya banyak kali bersembang dengan beliau secara peribadi, ternyata hasrat Islam beliau begitu mendalam. Islam itu cuba dilahirkan dalam amalan peribadinya sehingga kepada usaha-usaha politiknya.
Namun, tidak semestinya hal yang sama ada dalam diri setiap pembicara atas nama hudud. Sebahagian kadang-kala mengelirukan pihak lain terutama non-Muslim dalam negara kita.
Saya mencadangkan pembaca yang membaca tulisan ini turut membaca artikel saya "Hudud dan Beberapa Gambaran Salah".
Kita tidak boleh mempertikaikan hukum Allah, tetapi kita boleh mempertikaikan cara perlaksanaan dan pentafsiran hukum berkenaan oleh manusia. Ini seperti kita tidak boleh mempertikaikan syariat haji, tetapi kita boleh mempertikaikan amalan haji individu tertentu jika ia tidak bertepatan.
Kita tidak boleh mempertikaikan sistem muamalat al-Quran dan Sunnah, tetapi kita boleh mempertikaikan bank, pajak gadai, syarikat, koperasi dan lain-lain yang menggunakan nama Islam dalam operasi mereka jika kita dapati ia tidak menepati semangat Islam yang sebenar.
Demikian kita tidak boleh mempertikaikan syariat hudud, tetapi kita boleh mempertikaikan perlaksanaan oleh pihak tertentu apabila kita dapati ia tidak memenuhi semangat keadilan yang dikehendaki oleh Allah dan rasul-Nya.
Namun, tujuannya hendaklah untuk memelihara nama Islam agar tidak disalahgunakan atau disalahfahami.
Sukar
Sesuatu yang wajar diakui bahawa bukannya mudah untuk melaksanakan hudud di zaman kini, terutama di negara kita yang mempunyai persekitaran yang sangat berbeza dibanding hari-hari awal hudud dilaksanakan.
Dalam masyarakat seperti kita, melaksanakan hudud tanpa penelitian bagaikan memasang pintu istana untuk sebuah rumah buruk. Ia bukan menambahkan kecantikan, sebaliknya mungkin merobohkan rumah yang buruk itu dan merosakkan pintu yang cantik dan berharga itu.
Tokoh ilmuwan Muslim yang terkenal Dr Mohamed Salim el-Awa dalam bukunya Punishment in Islamic Law menyatakan bahawa dari penelitian beliau bahawa belum sempat dua kurun selepas kewafatan Nabi SAW hudud sudah tidak dilaksanakan dalam dunia Muslim.
Sejak zaman Abbasiyah lagi penekanan perlaksanaan hudud sudah tiada. Ini disebabkan kerangka masyarakat seperti mana waktu hudud dilaksana pada awal sudah lagi.
Dalam The Oxford Encyclopedia of the Islamic World , John L Esposito menyebut bahawa sekalipun hudud dijadikan undang-undang di beberapa negara tetapi tidak dilaksanakan, ini seperti di Libya dan Pakistan.
Sementara di Sudan dan Utara Nigeria hanya dilaksanakan beberap tahun selepas diperkenalkan, kemudian dihentikan. Pada zaman kini hanya Arab Saudi menjadi contoh dalam perlaksanaan hudud.
Ada pendapat menyebut bahawa penulisan para pengembara silam yang melawat pelbagai wilayah Islam tidak pernah melaporkan perlaksanaan hudud, ini seakan menunjukkan semacam ia terhenti. Sementara itu tokoh seperti Prof Tariq Ramadan dalam artikelnya " An International Call for Moratorium on Corporal Punishment" pula menyeru kepada moratorium (penangguhan) hudud disebabkan keadaan dunia yang berubah.
Demikian juga tokoh fikah yang terkenal as-Syeikh Mustafa al-Zarqa dalam Fatawa Mustafa al-Zarq meminta agar hukuman rejam tidak dilaksanakan di zaman kini kerana itu akan menjadi fitnah kepada Islam.
Tiga golongan
Maka, mereka yang enggan menerima perlaksanaan hudud itu ada tiga golongan; pertama, mereka yang membenci hudud itu sendiri dan menganggapnya zalim dan buruk. Maka golongan ini rosak akidahnya.
Kedua, mereka yang tidak menolak hudud tetapi menolak tafsiran perincian hudud yang dibuat oleh pihak tertentu. Ini kerana nas-nas hudud dalam al-Quran dan hadis umum, perinciannya adalah ijtihad ataupun tafsiran para pengkaji.
Sebagai contoh, Prof Dr Hashim Kamali seorang sarjana Muslim yang terkenal telah menulis mengkritik enakmen hudud Kelantan dan Terengganu. Sesiapa yang berminat boleh membaca tulisan beliau ‘Hukuman Dalam Undang-Undang Islam: Suatu Penelitian Terhadap Hukum Hudud Kelantan dan Terengganu".
Golongan ini tidak boleh dianggap mengkritik Islam sebaliknya mengkritik tafsiran pihak tertentu tentang hudud. Golongan ketiga, mereka tidak menolak hudud tetapi menyatakan keadaan hari ini ataupun masyarakat yang sedang ada tidak kondusif untuk dilaksanakan hudud.
Dalam erti kata lain, persekitaran yang membolehkan hudud itu berfungsi dengan adil tidak wujud. Maka hudud mestilah ditangguhkan sehingga suasana yang sesuai itu muncul. Ini seperti kita menyatakan haji itu wajib tetapi oleh kerana kewangan tidak cukup, ataupun perjalanan tidak aman, maka hendaklah ditangguhkan.
Jika hudud dilaksanakan juga ia tidak akan mencapai tujuan yang Allah kehendaki. Golongan ketiga tidak menolak hudud tetapi menyatakan bahawa dari segi maqasidnya ia tidak wajar dilaksanakan pada waktu ini sebelum suasana yang kondusif muncul.
Tujuan kenegaraan
Hakikatnya tujuan kenegaraan dalam Islam bukanlah untuk hudud. Tujuan kenegaraan lebih luas dari itu. Pemerintah menegak social justice ataupun keadilan masyarakat dalam segala aspek. Hudud hanyalah mekanisme dalam mengatasi jenayah tertentu.
Bahkan perkataan ‘hudud Allah' dalam al-Quran tidaklah merujuk kepada undang-undang jenayah sebaliknya dalam Surah al-Baqarah ayat 187 merujuk kepada hukum-hakam puasa, Surah al-Baqarah ayat 229-230 merujuk kepada hukum-hakam talak, Surah an-Nisa ayat 13 tentang harta pusaka, Surah al-Mujadilah ayat 4 tentang hukum zihar, Surah at-Talaq ayat 1 tentang edah talak.
Ertinya perkataan hudud dalam al-Quran secara peraturan Allah bukan hanya tertumpu kepada hukum jenayah sahaja.
Menjadikan politik tertumpu kepada hudud bukan satu kebijaksanaan. Tidak dari segi maqasid agama, tidak juga dari segi kepentingan politik. Tujuan politik jauh lebih luas dari hanya membincang cara memotong tangan pencuri.
Sebelum pencuri dipotong tangan, politik sepatutnya membincang bagaimana memastikan tiada alasan untuk sesiapa pun mencuri disebabkan keadilan dan kebajikan negara. Hendak dipastikan semua warga sama di hadapan undang-undang.
Tidak boleh ada pihak yang boleh bermaharajalela yang jika mereka didakwa, yang membawa kes pula akan dikenakan di bawah akta hasutan.
Jangan sampai rakyat yang mencuri di pasar raya dipotong tangan, tapi pembesar yang mencuri hutan balak negara dibiarkan.
Akhirnya, saya ingin memetik apa yang al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (wafat 751H) tentang politik dan keadilan dalam al-Turuq al-Hukmiyyah fi al-Siyasah al-Shar'iyyah :
"Berkata al-Shafi'i: Tiada siasah (politik) melainkan apa yang menepati syarak. Kata Ibn ‘Aqil: Siasah itu yang merupakan tindakan yang mana dengannya manusia lebih dekat kepada kebaikan dan jauh dari kerosakan, sekalipun ia tidak ditetapkan oleh Rasul dan diturunkan wahyu mengenainya.
"Jika engkau maksudkan dengan perkataanmu 'Tiada siasah melainkan apa yang menepati syarak' iaitu tidak menyanggahi apa yang syarak sebut, maka itu betul. Jika engkau maksudkan tiada siasah melainkan apa yang syarak sebut maka itu salah. Itu juga menyalahkan para sahabah.
"Apabila zahirnya tanda-tanda keadilan dan wajahnya memancar sinar dalam apa jalan sekalipun maka di situlah syariat Allah dan agama-Nya. Allah SWT lebih mengetahui, lebih bijaksana dan lebih adil untuk hanya membataskan jalan-jalan keadilan dan tanda-tanda serta alamat-alamatnya dengan sesuatu kemudian menafikan apa yang lebih jelas daripada itu, lebih kuat dalilnya, lebih nyata tandanya, lalu dia tidak menerima dan menilai kewujudannya dan menegakkan tuntutannya.
"Bahkan Allah SWT telah menjelaskan bahawa apa yang Dia syariatkan mengenai jalan-jalan (hukum agama) tujuannya untuk menegakkan keadilan dalam kalangan hamba-hamba-Nya dan membolehkan manusia menegakkan keadilan. Apa-apa saja jalan yang dapat menghasilkan keadilan dan kesaksamaan maka itu dari agama ini, dan ia tidak menyanggahinya.
Tidak mungkin untuk dikatakan bahawa siasah yang adil itu menyanggahi apa yang ungkapkan oleh syarak, sebaliknya ia menepatinya. Bahkan siasah yang adil itu satu juzuk dari syarak.
"Kita menamakannya siasah mengikut istilah mereka padahal sebenarnya ia adalah keadilan Allah dan rasul-Nya yang zahir menerusi tanda-tanda dan bukti-bukti tersebut."
PROF MADYA DATUK DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN bekas mufti Perlis. Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya melambangkang pendirian rasmi Malaysiakini .