Lynas Corporation Limited telah menyiapkan pembinaan Fasa Satu Lynas Advanced Materials Plant (LAMP) di Pahang.
Pengerusi Eksekutif Lynas Nicholas Curtis berkata sepertimana setiap individu di Lynas, beliau juga teruja menantikan bermulanya operasi di LAMP dan dapat membekalkan produk kepada pelanggannya akhir tahun ini.
"Saya ingin merakamkan penghargaan atas dedikasi staf kami dan kontraktor-kontraktor, kesabaran dan sikap timbang rasa pelabur-pelabur dan pelanggan kami, dan ketelitian para pengawal di Malaysia dan pakar antarabangsa," katanya dalam kenyataan semalam.
Lynas, katanya memberikan komitmen penuh terhadap soal keselamatan, kesihatan, alam sekitar dan nilai-nilai masyarakat dan berazam untuk mencapai matlamat 'Sifar Bahaya'.
"Komitmen kami terhadap keselamatan meliputi rekabentuk dan pembinaan LAMP sehingga pentauliahan, operasi dan penambahbaikan berterusan," kata Curtis.
Lynas menyatakan syarikat itu sedar telah berlaku perdebatan terbuka di kalangan rakyat Malaysia mengenai projek itu.
Di sebalik data saintifik dan pemeriksaan ketat oleh pakar antarabangsa yang menunjukkan bahawa projek itu selamat, sebilangan masyarakat masih sangsi dengannya, menurut syarikat itu.
Ia menegaskan punca utama kebimbangan masyarakat itu ada kaitan dengan penyimpanan dan pengurusan sisa hasil daripada proses penapisan.
"Untuk menangani kebimbangan masyarakat, Lynas akan memastikan semua bahan yang menimbulkan kebimbangan kepada rakyat Malaysia, dipindahkan secara ditukar menjadi produk, dan dieksport dalam bentuk yang diterima untuk pasaran antarabangsa dan mematuhi semua peraturan Malaysia dan konvensyen antarabangsa," kata syarikat itu.
Sementara itu, Curtis berkata Lynas akan terus membabitkan diri dengan masyarakat serta melaksanakan program pendidikan dan kesedaran di Malaysia.
"Lynas mahu membantu membangunkan pangkalan industri maju di Malaysia yang menumpukan pada pembuatan teknologi tinggi menggunakan nadir bumi," kata pengerusi eksekutif itu.
Curtis berkata LAMP akan menyediakan peluang tambahan kepada Malaysia untuk berkongsi peranan strategik dan penting ini dengan menggalakkan pelaburan dalam pembuatan produk hiliran berasaskan nadir bumi.
Ini termasuk komponen untuk industri automotif, IT dan peralatan komputer, elektronik pengguna/industri serta industri baharu seperti kuasa solar, bioteknologi dan nanoteknologi.
"Lynas telah membangunkan projek nadir buminya selama lebih 10 tahun berdasarkan deposit kami di Australia Barat. Kami berhasrat untuk memainkan peranan penting dalam pasaran kritikal ini di peringkat global," kata Curtis.
- Bernama