Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

ULASAN Semua parti politik di Malaysia perlu menghentikan polemik mengenai hudud.

PAS, Umno, MCA mahupun DAP perlu berhenti menjadikan isu hudud sebagai ‘punching bag' mereka menjelang pilihan raya umum ke-13 (PRU13).

Ditakuti, perbincangan yang tiada kesudahan oleh pihak-pihak yang masih tidak jelas tentang hakikat sebenar hudud ini hanya akan membawa kepada ‘Islamofobia' di kalangan masyarakat non-Muslim seperti yang disuarakan oleh phak Angakatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

azlan Hakikatnya, isu perlaksanaan hudud memerlukan perbincangan yang lebih panjang dan bukannya sekadar isu politik semata-mata. Peranan Majlis Raja-Raja yang menjadi ketua agama di negeri masing-masing perlu diambil kira.

Begitu juga dengan mekanisme yang berpotensi menjadi pelaksana undang-undang hudud seperti Mahkamah Syariah, majlis agama di negeri-negeri, peguam-peguam syariah dan pihak keselamatan juga perlu diambil kira.

Apakah mereka sendiri telah bersedia? Atau apakah mereka juga sudah mempunyai kemampuan untuk menjadi pelaksana kepada undang-undang hudud jika ia dilaksanakan nanti?

Hakikatnya sama ada BN atau Pakatan Rakyat yang menang PRU13, tiada siapa yang akan mampu melaksanakan hudud serta merta, apatah lagi ahli politik veteran yang tidak lagi mempunyai kuasa seperti Tun Dr Mahathir Mohamad.

Gabungan Umno-PAS pun tak dapat laksana

Apa yang pasti, PAS bersendirian sahaja tidak akan dapat memaksakan perlaksanaan hudud tanpa sokongan dua pertiga ahli parlimen untuk pindaan perlembagaan.

Begitu juga pihak Umno, yang hanya segelintir sahaja ahlinya bersetuju dengan hudud juga tidak akan mampu membuat pindaan perlembagaan.

azlan Hatta jika digabungkan suara PAS dan segelintir ahli Umno yang pro-hudud sekalipun, mereka tidak akan dapat membentuk majoriti dua pertiga yang diperlukan untuk meminda perlembagaan untuk perlaksanaan hudud.

Realiti yang tidak boleh dinafikan, PAS telah sinonim dengan hudud dan berusaha sedaya upaya untuk mengotakan janji mereka. Kedua-dua enakmen hudud di Kelantan dan Terengganu adalah bukti komitmen mereka.

Halangan mereka ialah pihak kerajaan persekutuan yang enggan meluluskan bawah pemerintahan Mahathir dan juga halangan perlembagaan.

Dalam isu ini, PAS tidak pernah mengkhianati janji mereka dan tidak sekali-kali menggadaikan prinsip mereka berhubung isu hudud. Hal ini patut diterima akur oleh semua pihak, termasuk PAS sendiri.

Maka, jika PAS mengambil sikap berulang-ulang melaungkan isu hudud secara defensif tanpa bergerak menawarkan sesuatu yang lebih luas melalui konsep kefahaman ‘politik Islam' yang lebih syumul atau komprehensif, ia bukanlah langkah politik yang produktif.

‘Red herring' menjelang pilihan raya

Lebih molek jika PAS berusaha menerangkan konsep "Negara Berkebajikan" mereka kepada rakyat Malaysia yang lebih diterima semua pihak.

Malah konsep tersebut merupakan ijtihad politik Islam kontemporari yang amat bernilai hatta di peringkat antarabangsa sekalipun.

azlan Menjelang PRU13 eloknya parti-parti politik dari kedua-dua BN dan PR menumpukan pada isu tata kelola kerajaan, isu polisi, isu dasar, isu rasuah, isu ketirisan, isu dana awam, isu hala tuju negara, isu dasar luar negara yang tidak bermaya, isu ekonomi negara dan isu harga barang.

Begitu juga dengan isu pendidikan, termasuk Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), isu alam sekitar, isu royalti minyak di Kelantan, Sabah dan Sarawak, dan juga isu-isu yang lebih melibatkan kehidupan seharian rakyat Malaysia tanpa kira bangsa, agama dan latar belakang.

Semua parti-parti politik perlu mengelakkan isu bersifat ‘red herring' yang hanya akan melarikan rakyat dari isu sebenar yang melibatkan kepentingan bersama semua pihak.

Media juga diharapkan agar dapat menjadi medium untuk mendidik rakyat agar bersikap matang, berpolitik secara bertamadun, serta menjadi wahana politik baru yang berdasarkan hujah, fakta dan rasional.

Memanjang isu yang lebih bersikap polemik tanpa membuahkan hasil yang konkrit tidak akan membawa rakyat ke mana-mana.


NONE DR MASZLEE MALIK pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya melambangkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS