Bekas ketua polis negara Tan Sri Musa Hasan berbohong apabila menafikan pernah berhubung dengan tokoh kongsi gelap Goh Cheng Poh dan BK Tan semasa masih berkhidmat, kata bekas pegawai kanan polis.
Bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Datuk Ramli Yusuff berkata, terdapat bukti dikumpulkan pasukannya, akuan bersumpah yang tidak dicabar dan pengakuan mahkamah membuktikan sebaliknya.
Tambahan pula, tambahnya, dalam perbicaraan dakwaan salah guna kuasa terhadapnya di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu, Musa diputuskan bukan saksi yang boleh dipercayai untuk memberi keterangan.
"Musa saksi terakhir untuk memberikan keterangan dalam kes salah guna kuasa yang didakwa terhadap saya.
"Hakim Supang Lian mendapati kenyataannya bertentangan dengan pengakuan tujuh pegawai polis bawahnya. Oleh itu, hakim menolak pengakuan Musa sebagai tidak boleh dipercayai," kata Ramli ( kiri ).
"Di sini, kita ada hakim junior yang mengeluarkan kenyataan itu terhadap IGP yang sedang berkhidmat. Ini memalukan pasukan polis," katanya ketika diwawancara Malaysiakini .
Hakim berkata demikian pada tahun 2009 apabila membebas dan melepaskan Ramli tanpa memanggilnya untuk membuat pembelaan. Ramli dibersihkan daripada lima pertuduhan yang didakwanya direka-reka.
Musa dalam wawancara dengan Malaysiakini pada Mei lalu menafikan mengenali Goh yang juga dikenali sebagai Tengku Goh dan BK Tan - yang didakwa mendapat sokongan Musa ketika menjadi ketua polis Johor.