Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mat Sabu nafi akan bentang usul hudud jika memerintah

Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu menafikan mengeluarkan kenyataan bahawa partinya akan membawa usul pelaksanaan hudud dalam Dewan Rakyat jika Pakatan Rakyat memerintah, seperti yang dilaporkan oleh sebuah akhbar berbahasa Cina.

suaram scorpene case fundraising dinner 160612 mat sabu Sebaliknya, dalam wawancara dengan Sin Chew Daily itu, beliau hanya menjelaskan, sebarang pindaan undang-undang perlu mendapat sokongan majoriti di parlimen, mengikut peruntukan perlembagaan persekutuan dan perjanjian dalam Pakatan.

Malah, katanya, jika usul pelaksanaan hukum Islam itu dibawa ke parlimen, tetapi ditolak oleh majoriti ahli parlimen untuk dibahaskan, maka sudah tentu tidak boleh dilaksanakan.

"Saya kata (pada Sin Chew Daily ), sebarang perubahan dan pindaan hendaklah melalui parlimen dan mengikut perlembagaan dan menghormati perjanjian Pakatan Rakyat. Saya tak sebut mengenai (bawa usul) hudud (ke parlimen).

NONE "Bawa usul, (tetapi) ramai tolak, (maka) tak boleh jalankan hudud," katanya ketika ditemui malam tadi.

Harian itu dalam versi atas taliannya semalam dan muka depan edisi cetaknya hari ini memetik beliau sebagai berkata, PAS berhasrat mengusulkan pindaan perlembagaan di Parlimen dalam usaha melaksanakan hudud sekiranya berjaya mengambil alih Putrajaya.

Beliau dilaporkan mendakwa perkara tersebut merupakan pendirian PAS dan pihak lain termasuk ahli parlimen bukan Islam yang tidak bersetuju boleh mencabarnya dalam di parlimen.

Editor kanan ramal Hadi bentang pada 2014

Bercakap kepada Malaysiakini , Mohamad bagaimanapun menegaskan, sebelum melaksanakan undang-undang syariah itu, urus tadbir kerajaan dan keadilan sosial di kalangan rakyat perlu diwujudkan terlebih dahulu.

pakatan ceramah in kuala selangor 3 hadi awang pas "Nak buat hudud perlu timbulkan ' good governance ' dan keadilan sosial terlebih dahulu," katanya sambil menambah isu hudud itu akan dimainkan BN setiap kali menjelang pilihan raya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarang Berta Sin Chew Tay Tian Yan dalam kolumnya hari ini turut meramalkan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan membentangkan usul itu pada September 2014.

Menggambarkan kemungkinan yang mungkin berlaku dua tahun lagi, Tay meramalkan tindakan itu akan mengundang perpecahan bukan sahaja dalam Pakatan tetapi juga BN.

Tay menulis, senario yang mungkin wujud, anggota parlimen DAP, MCA, MIC dan Gerakan akan menentangnya, Umno - yang ketika itu pembangkang - akan menyokong, manakala anggota parlimen PKR pula berpecah dua.

Situasi itu, menurut "analisis senario" Tay dalam artikel bertajuk "Suatu hari pada 2014", akan merintis kepada pembentukan kerajaan campuran PAS-Umno.

Sementara itu, Sin Chew dalam kenyataannya petang ini di Twitter berkata, wartawannya sudah beberapa kali mengesahkan dengan Mohamad berhubung kenyataan PAS berhasrat meminda perlembagaan melalui Parlimen untuk melaksanakan hudud.

Bagaimanapun, pembentangan usul berkenaan masih belum dibincangkan, jelas harian itu lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS