Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

WAWANCARA ADUN Sekinchan Ng Suee Lim berkata beliau melihat mantan menteri besar Selangor, Dr Mohd Khir Toyo sebagai pemimpin yang lebih berbudi bahasa dan beradab berbanding Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar.

"Kedua-dua pemimpin ini ada satu ciri yang sama, kedua-duanya pemimpin Umno di negeri Selangor.

NONE "Yang kedua, dua-dua pemimpin ini rakus tetapi perbezaan antara Noh Omar dan Khir Toyo, Khir Toyo nampak tak segarang Noh Omar.

"Dia tidak gengster (seperti Noh Omar)", kata Ng dalam satu wawancara dengan Malaysiakini.

Ng merupakan pemimpin DAP yang bertanggungjawab mendedahkan isu melibatkan sebuah rumah milik Khir Toyo sehingga membawa kepada pendakwaan terhadap ADUN Sungai Panjang itu di mahkamah.

Khir Toyo kemudiannya didapati bersalah menggunakan kedudukannya selaku menteri besar untuk membeli rumah dan tanah itu pada harga yang jauh lebih rendah daripada harga pasaran.

Beliau dijatuhkan hukuman penjara setahun dan kini dalam proses merayu hukuman itu.

Selepas Khir, Ng kini dalam proses mendedahkan satu urusniaga tanah yang dikaitkannya dengan Noh Omar.

Projek udang

Noh bagaimana pun menafikan dakwaan Ng dan menjelaskan beliau hanya terlibat sebagai pemilik tanah yang menyewakan tanah kepada syarikat ternakan udang.

Lanjutan dari pendedahannya, Ng kini berdepan dua saman fitnah bernilai RM10 juta setiap satu daripada Khir Toyo dan Noh Omar.

NONE "Sekarang nilai saya di pasaran 20 juta," kata Ng yang kelihatan tidak terjejas dengan tindakan undang-undang itu.

"Racun di tangan kananmu (Khir Toyo), dan racun juga di tangan kirimu (Noh Omar). Bukan madu. Apa yang saya nak berikan padamu? Hanya racun sahaja," kata Ng lagi sambil ketawa besar.

Bagaimana pun, Ng berkata beliau masih lagi bertegur sapa dengan Khir Toyo dan berkunjung ke majlis rumah terbuka hari rayanya selepas pendedahan itu.

Khir Toyo katanya berbeza sama sekali dengan Noh Omar yang diibaratkannya seperti "gengster".

"Selepas dedahkan rumah dia pun saya pergi ke rumah terbuka hari raya Khir di Simpang Lima.

"Dia pun layan saya dengan baik. Ini cara politik yang sihat.

Tetapi Noh Omar ini luar biasa. Rakus satu, ego, sombong, garang, ganas, gengster, samseng.

"Enam ciri-ciri dalam satulah. Bukan 3-dalam-1 tetapi 6-dalam-1," katanya lagi.

Secara kebetulan pula, kata Ng, DUN Sekinchan terletak di antara kawasan DUN Sungai Panjang Khir Toyo dan parlimen Tanjung Karang yang diwakili Noh Omar.

Insiden makan malam

Mengulas lanjut mengenai sikap Noh, Ng turut menceritakan kembali satu insiden dalam satu majlis makan malam sempena Tahun Baru China pada awal tahun ini yang turut dihadiri menteri tersebut.

Menurutnya, beliau dijemput selaku ADUN Sekinchan dan diletakkan semeja bersama Noh Omar yang turut sama diundang ke majlis anjuran persatuan nelayan di Sekinchan itu.

NONE Ng mendakwa, Noh yang tiba lewat sejam daripada masa yang sepatutnya terus meninggikan suara bertanya kepadanya jika Ng ada menerima satu "surat saman" daripadanya.

Ng yang berang apabila disaman sedemikian oleh Noh berkata beliau beliau kemudiannya mencabar menteri tersebut untuk meneruskan tindakan undang-undang itu.

Namun, mereka berdua mengalihkan tumpuan dengan membelek-belek telefon masing-masing untuk meredakan keadaan.

Ng turut mengimbau kembali insiden hitam apabila dipukul kira-kira 30 orang lelaki yang didakwa diketuai seorang pegawai Noh.

Ng kemudian dimasukkan ke hospital selama dua hari susulan kejadian 4 November 2010 itu.

Noh dalam maklum balasnya mendakwa Ng cuba melakukan demonstrasi haram di kawasan itu dan layanan yang beliau terima daripada penduduk setempat itu adalah setimpal dengan perbuatannya.

"Sebagai menteri kalau ada ADUN pembangkang atau siapa-siapa kena pukul kita wajar nyatakan simpati dan kita minta polis siasat.

"Jadi saya labelkan Noh Omar ini menteri samseng. Bermula dari situ dan sekarang ini saya target dia sebagai antara sasaran utama saya," katanya.

Masalah industri pertanian

Ng turut mengkritik Noh yng didakwa mengabaikan industri perikanan dan beras yang merupakan nadi ekonomi Sekinchan.

"Masalah harga padi ia dimonopoli syarikat Bernas (Padi Beras Nasional).

"Sekarang dia dimiliki Syed Mokhtar Albukhary. Maknanya apabila wujud monopoli, petani nak jual padi atau beras mereka kepada orang-orang luar dari Kedah ada sekatan, ada kekangan, ada halangan.

NONE "Harga beras tidak dapat dilonjakkan," kata Ng.

Menurutnya lagi, nelayan pengusaha bot dengan permit B di Sekinchan juga menghadapi masalah menggaji pekerja apabila orang tempatan tidak berminat untuk melakukan tugas itu.

"Mereka tidak dibenarkan Jabatan Perikanan mengupah pekerja asing.

"Situasi pada masa itu rakyat tempatan tidak berminat dengan industri perikanan maka dengan itu kekurangan tenaga kerja.

"Bagaimana bot permit B ini hendak meneruskan perniagaan mereka kalau tiada pekerja," katanya.

Di akhir wawancara, Ng berikrar akan memberikan saingan sengit kepada Noh Omar dan BN dalam pilihan raya akan datang bagi kawasan Sekinchan dan sekitarnya.

"Pilihan raya akan datang, Parlimen Sungai Besar kita akan lawan.

"Tanjung Karang saya yakin (kita boleh menang) 51-49.

"Noh Omar walaupun dia kuat, di depan saya yakin Pakatan Rakyat mengekori sedikit sahaja lagi di belakang.

"Memang sukar walau berapa banyak billboard sekali pun Noh Omar dirikan kita akan lawan," kata Ng.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS