Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pensyarah UiTM: Dasar air percuma 'tak bijak'

Dasar kerajaan negeri Selangor memberi bekalan air percuma sejak empat tahun lepas adalah langkah yang tidak bijak dan bukan bersifat lestari, kata seorang ahli akademik.

Prof Dr Suhaimi Abdul Talib berkata dasar itu menyebabkan hasil bagi kerajaan negeri terus merosot yang akan sebaliknya memberi manfaat atau berguna bagi meningkatkan kemudahan infrastruktur.

"Walaupun pemberian air percuma kelihatan baik dari segi faedah jangka pendek, tetapi dari segi jangka panjang kita tidak mendidik orang ramai untuk menghargai air," katanya dalam satu temu bual dengan Bernama hari ini.

Dr Suhaimi, yang juga Penolong Naib Canselor bagi Pembangunan, Pengurusan Kemudahan dan ICT Universiti Teknologi Mara (UiTM), memberi amaran," Kita tidak mempunyai limpahan bekalan air yang tidak terhingga. Kita perlu sedar bahawa sumber-sumber air semakin berkurangan berikutan peningkatan permintaan yang mendadak."

Beliau berkata negeri itu akan sampai pada satu peringkat di mana ia tidak lagi dapat menarik air mentah dari sumber luar dan sumber air yang baru akan perlu datang bergantung kepada bagaimana ia dapat menguruskan sumber dalamannya sendiri dengan cara yang terbaik.

Dr Suhaimi berkata beliau menentang dasar air percuma kerana persoalan berhubung kemampuan bukan satu isu di Kuala Lumpurr.

"Jika kita perlu membayar bil air kita sebanyak RM40 sebulan, apa sangat dengan RM40? Anak anda belanja lebih daripada RM40 ke atas (telefon bimbit) prabayar. Jadi, ia bukan satu persoalan mengenai kemampuan. Kita sepatutnya membayar bagi bil air kita."

Dr Suhaimi berkata rakyat negeri Selangor perlu dididik supaya mengubah tanggapan mereka mengenai air dengan cara menghargai nilai sebenar air dan ini tidak boleh dilakukan selagi mereka mendapat bekalan air percuma.

"Rakyat negeri Selangor kena guna air secara berhemah supaya setiap penduduk dapat mengurangkan penggunaan sebanyak 20 peratus. Ini bermakna kapasiti di empangan-empangan kita boleh meningkat 20 peratus. Ini adalah sesuatu yang kita terlepas pandang."

Beliau berkata negara-negara maju telah menukar daripada pengurusan sumber air kepada pengurusan permintaan sambil menambah "kita perlu mengawal rakyat yang menggunakan air."

"Hanya ada satu cara bagi kita untuk memastikan penggunaan air secara lestari. Kita mesti mengubah tingkah laku kita terhadap air dan hanya melalui pengubahsuaian tingkah laku, membolehkan kita mengekang permintaan yang tidak terkawal. Sudah tentu, permintaan akan meningkat tetapi kadar peningkatan itu boleh dikawal," kata Dr Suhaimi.

Dr Suhaimi menjelaskan jika peningkatan tarif air tidak dapat dielakkan, katakan setiap beberapa tahun, ia perlu wajar dan dengan persetujuan kerajaan.

"Maksudnya begini: Dalam negara ini, apa sahaja (bayaran bagi) barangan dan khidmat yang akan dinaikkan akan memberi gambaran buruk ke atas kerajaan. Ini kerana kita biasanya mendapat apa sahaja dengan percuma atau melalui subsidi.

Jadi bila anda cuba untuk mengambilnya balik, orang ramai akan kata ini hak kami, jadi masalahnya dengan rakyat Malaysia adalah ini..ia bukan persoalan mengenai kemampuan, kita boleh membayar tetapi ia satu persoalan mengenai kesediaan individu itu untuk membayar."

Beliau berkata air yang merupakan keperluan asas bagi setiap orang, tidak sepatutnya diberi secara percuma kerana ia memberi makna bahawa komoditi yang berharga itu tidak mempunyai nilai.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS