Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Keyakinan pelabur terhadap Felda Global Ventures Holding Bhd (FGVH) dijangka akan bertambah dalam masa terdekat, sekaligus akan membawa kepada peningkatan harga sahamnya di Bursa Malaysia.

Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad berkata berdasarkan rekod keuntungan yang dicatatkan FGVH sebelum ini, beliau yakin ia akan merangsang pihak pelabur untuk membeli saham FGVH.

"Dari segi harga saham, pada masa sekarang memang ada penurunan tapi ini satu perkara yang berlaku pada semua syarikat dan sudah pasti pihak pelabur akan melihat perkembangan FGVH pada masa akan datang," katanya kepada pemberita semasa ditemui di majlis rumah terbuka sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri di kediamannya, di Port Dickson hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai laporan negatif dalam beberapa blog di Malaysia terhadap penurunan harga saham FGVH ketika ini.

Mohd Isa berkata soal turun naik harga saham adalah perkara biasa dalam perniagaan dan ia memang dijangkakan dan pihak Felda sendiri sedang mencari kaedah untuk mengatasinya termasuk membuat penambahan pegawai untuk menguruskan FGVH agar syarikat itu dapat terus menjadi syarikat yang terbaik.

Beliau berkata isu penurunan harga saham FGVH itu sengaja dimainkan oleh pihak-pihak tertentu untuk tujuan politik bagi menghakis kepercayaan pelabur terutama peneroka terhadap Felda dan juga kerajaan.

FGVH yang baru disenaraikan pada 28 Jun lepas, diapungkan pada harga RM4.55 seunit, dan pernah mencecah RM5.50 pada minggu awal disenaraikan sebelum merosot pada harga ketika ini. Sehingga pukul 5.18 petang semalam, harga saham FGVH berada pada paras RM5.03.

Dalam pada itu, mengulas mengenai bayaran durian runtuh RM5,000 kepada generasi kedua Felda yang dijanjikan akan diagihkan selepas Aidilfitri, Mohd Isa berkata ia dijangka akan dibuat pada bila-bila masa sahaja.

"Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) selaku Menteri yang menjaga Felda, akan menentukan tarikh pengagihan bayaran itu. Duitnya ada, cuma tarikh sahaja yang belum ditentukan lagi," katanya.

Sementara itu lebih 8,000 tetamu hadir ke majlis rumah terbuka Aidilfitri beliau yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Bagan Pinang.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS