Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar berkata, Pakatan Rakyat tidak akan membayar sebarang kos bagi sesi pratonton khas filem kontroversi Tanda Putera yang dituntut mereka sebelum ini.
" Tentulah tidak. Sudahlah wang rakyat dibelanjakan untuk hasilkan filem yang dimuatkan propaganda BN," katanya ketika ditanya kesediaan mereka menanggung kos itu.
Semalam, penerbit eksekutif filem itu, Aida Fitri Buyong memberitahu, permintaan pembangkang untuk dilakukan pratonton bagi penilaian semula tidak dapat dilakukan kerana kosnya yang tinggi.
Aida bagaimanapun berkata, pihaknya tidak keberatan untuk mengadakan tayangan peribadi jika Pakatan mahupun pihak tertentu bersedia menampung kosnya.
Selain itu, mengulas penjelasan pengarahnya Shuhaimi Baba bahawa babak tragedi berdarah 13 Mei hanya dimuatkan selama 10 minit, Nurul Izzah masih berpandangan sebaliknya.
''Dia (Shuhaimi) boleh cakap apa sahaja yang dia nak cakap. Bagi saya setiap perkara yang dimuatkan (dalam filem) akan kekal selamanya.
"Saya mengucapkan terima kasih tetapi saya (tetap) tak sedia untuk lunaskan (bayaran pratonton)," kata Nurul Izzah.
Pakatan pada 7 Ogos lalu menuntut diberikan peluang menonton Tanda Putera sebelum ditayangkan kepada umum kerana pemerhatian daripada trailer menunjukkan ia boleh "membakar api perkauman".