Seorang pegawai polis yang bertanggungjawab ke atas operasi pasukan itu di Dataran Merdeka semasa perhimpunan BERSIH 3.0 berkata beliau tidak mengetahui bagaimana tanda nama anggotanya tertanggal ketika perhimpunan tersebut memuncak.
ASP Ahmad Jais Usang, yang mengetuai operasi di zon Dataran Merdeka semasa perhimpunan tersebut berkata, semua 1,000 pegawai itu memakai tanda nama ketika beliau memberi taklimat pada pagi 28 April.
"Pada waktu pagi semasa taklimat semua mereka memakai tanda nama," katanya kepada panel Suruhanjaya Hak Asasi Manusia dalam inkuiri yang dijalankan pagi ini.
Bagaimanapun, pakaian seragam itu hanya menunjukkan nama anggota dan tidak menunjukkan nombor anggota terbabit.
Ahmad Jais menjelaskan bahawa sesetengah tanda nama itu dijahit di pakaian seragam tertentu manakala yang lain menggunakan kancing velcro yang boleh dipasang dan ditanggalkan pada bila-bila masa.
Inkuiri yang masuk hari ke-13 hari ini bertujuan untuk menyiasat dakwaan pelanggaran hak asasi manusia semasa dan selepas perhimpunan BERSIH 3.0.