Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Kecenderungan penjualan semula saham Felda Global Venture (FGV) dalam masa singkat selepas dilancarkan menandakan ia tidak kukuh dan tidak wajar disenaraikan dari awal lagi, kata Persatuan Anak Peneroka FELDA Kebangsaan (ANAK).

NGO antipenyenaraian Felda yang dekat dengan PAS itu mendakwa, badan dan syarikat besar kini sudah mula mula menjual pegangan mereka dalam FGV.

"Sekarang ini situasi yang terdesak bagi FGV. Apabila masing-masing jual ini menggambarkan mereka tidak yakin dengan FGV.

"Ini belum termasuk peneroka-peneroka FELDA yg dah jual saham mereka. Ramai yang sudah menjualnya," kata Presiden ANAK Mazlan Aliman ketika ditemui di majlis berbuka ANAK di Gombak semalam.

The Malaysian Reserve pada 9 Julai melaporkan Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP) membeli 64.11 juta saham dalam FGV pada hari penyenaraiannya 28 Jun lalu.

Ia menjadikan KWAP membeli 24.5 peratus dari jumlah 262 juta saham yang diniagakan. Hasilnya, KWAP menguasai 193.49 juta saham atau 5.3 peratus saham FGV.

Namun dimaklumkan juga, KWAP menjual 123,800 sahamnya dalam FGVH pada hari 28 Jun berkenaan.

'Semakan tanah negeri akan burukkan keadaan'

Sementara itu, Mazlan berkata, FGV sendiri tidak kukuh sejak ia mula disenaraikan kerana gagal membawa Koperasi Permodalan FELDA (KPF) untuk terlibat sama dalam proses tersebut.

Sementara itu, Mazlan juga berkata, percubaan FGV menjalin kerjasama dengan pelabur asing turut gagal melonjakkan harga sahamnya sehingga RM6 seunit seperti dijanjikan Isa sewaktu ia dilancarkan.

"Walaupun ada percubaan untuk bawa syarikat asing tetapi keadaan itu tidak banyak menyumbang," katanya.

Beliau menjangkakan kedudukan FGV akan jauh lebih buruk selepas Hari Raya Aidil Fitri.

"Barang diingat, selepas hari raya kerajaan negeri terutama kerajaan negeri Pakatan Rakyat akan menyemak kedudukan tanah mereka dalam FGV.

"MB Kedah berkata FGV tidak memaklumkan bagaimana tanah FELDA akan disewa dalam tempoh 3 tahun tanpa perbincangan dengan kerajaan negeri.

"Jadi, kalau kerajaan negeri ambil tindakan ini akan menyebabkan saham FGV jatuh lagi.

"Ini satu lagi perkembangan buruk buat FGV," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS