Program "Janji Bersih" pada 31 Ogos di Dataran Merdeka berhasrat menuntut janji reformasi pilihan raya dan bukannya berniat mempolitikkan sambutan kemerdekaan.
Pengerusi Bersama Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) Datuk A Samad Said berkata, polis juga salah faham apabila menyangka program itu dianjurkan BERSIH sedangkan ia sebenarnya turut didukung 26 NGO lain.
"Perjuangan itu adalah untuk menuntut janji BERSIH, tidak khusus oleh BERSIH. BERSIH antaranya (yang terlibat).
"BERSIH sendiri pun bukan badan politik. Apa lagi dengan gabungan badan-badan lain yang tidak mewakili siasah (politik)," kata A Samad Said yang lebih dikenali sebagai Pak Samad.
Beliau berkata demikian ketika mengulas gesaan ketua polis negara agar sambutan Hari Merdeka tidak dipolitikkan dengan program 'Janji Bersih' pada masa dan tempat sama sambutan itu berlangsung.
Katanya lagi, pada masa akan datang polis juga tidak wajar melarang hadirin program itu daripada mengenakan baju berwarna kuning.
"Sepatutnya tiada halangan apa-apa baju pun orang nak pakai apatah lagi kuning bukan warna haram.
"Untuk IGP (ketua polis negara) berfikir bahawasanya ini adalah perlawanan antara BERSIH (dan polis) tidak benar.
"Jadi kehadiran itu secara simbolik. Makanya, soal warna baju itu boleh pakai warna apa-apa sahaja," katanya lembut tetapi tegas.
Janji Bersih, kata Pak Samad lagi akan tetap diteruskan di Dataran Merdeka yang merupakan hak rakyat umum.
"Ya (kita akan teruskan) dan kita memberitahu bahawasanya apa-apa baju pun mereka pakai kita (tetap) anjurkan.
"Dataran Merdeka itu simbolik perjuangan melepaskan diri daripada penjajahan. Ia tempat yang simbolik, apa salahnya?" katanya.
Beliau turut menyeru orang ramai yang mahu melihat Janji Bersih ditunaikan turun sama pada ke Dataran Merdeka pada hari itu.
"Saya harapkan agar ramai menyatakan kesungguhan dan keazaman kita untuk melihat Janji Bersih itu ditunaikan," katanya.
NGO: Sudah lama sambutan merdeka dipolitikkan
Sementara itu, Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) - antara kumpulan yang mendokong Janji Bersih - berkata, mereka bersetuju sambutan kemerdekaan dipolitikkan.
"Tetapi sedarkah Ismail bahawa sememangnya sudah lama sambutan kemerdekaan negara dipolitikkan," kata ketua penyelarasnya Badrul Hisham Shaharin merujuk kepada sambutan kemerdekaan yang hanya mengetengahkan presiden Umno.