Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Umno kini memulakan kempen pelampau agama melalui laporan Utusan Malaysia yang mendakwa berdosa sekiranya menyokong parti DAP.

NONE Laporan berkenaan yang memetik pandangan seorang guru pondok antara lainnya menyatakan bahawa DAP  "secara terang-terangan menentang penubuhan negara Islam serta pelaksanaan hukum hudud."

Namun, Anwar memberitahu satu sidang media hari ini, akhbar tersebut tidak melaporkan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan mantan perdana menteri juga tidak menyokong hukum hudud.

"Najib kata selagi jadi PM beliau tak akan laksanakan hukum hudud," katanya sambil menambah, Datuk Seri Mahathir Mohamad juga pernah menulis surat kepada menteri besar Kelantan bagi menyatakan penolakan kepada pelaksanaan hukum hudud.

"Kalau ini pandangan mereka, kenapa DAP saja disebut tak boleh disokong sedangkan kenyataan Umno dan MCA masuk kategori sama," katanya lagi.

Kit Siang: Ini hasutan berapi-api

Dalam sidang media sama, ketua parlimen DAP Lim Kit Siang berkata, Utusan melalui laporan muka depannya hari ini juga meneruskan hasutan tersebut dengan seruan untuk menolak parti tersebut.

NONE "Ini hasutan yang berapi-api," katanya yang menjelaskan, DAP sejak dahulu lagi menghormati peruntukan perlembagaan yang menetapkan Islam agama rasmi.

"Pendirian kita tidak berubah. Kita negara sekular dengan Islam sebagai agama rasmi," kata Lim ( kiri ).

Jelasnya, kenyataan itu sama dengan pendirian oleh tiga perdana menteri pertama Malaysia.

Namun, kata Lim, DAP diserang begitu rupa oleh Utusan sehingga disifatkan sebagai "kafir harbi".

"Perdana menteri yang kempen 1Malaysia tak patut benarkan Utusan teruskan kempen ini," katanya lagi.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, di Pulau Pinang, setiausaha politik kepada setiausaha agung DAP Zairil Khir Johari turut membuat laporan polis berhubung laporan Utusan itu.

1. Utusan: Guru pondok kata haram sokong DAP

2. Isu haram undi DAP: 'Utusan tak serik'


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS