Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Utusan: Guru pondok kata haram sokong DAP
Diterbitkan:  Aug 8, 2012 11:35 AM
Dikemaskini: 5:59 AM

Seorang guru pondok kontroversi yang sering bergeser pandangan dengan para pemimpin PAS hari ini tampil dengan satu lagi dakwaan bahawa hukum menyokong parti DAP adalah haram.

Pengasas pondok Geting, Tumpat, Abdullah Sa'amah dalam akhbar Utusan Malaysia hari ini mendakwa DAP "secara terang-terangan menentang penubuhan negara Islam serta pelaksanaan hukum hudud."

Bagaimanapun, MCA yang lantang menentang hukum hudud disifatkan Abdullah sebagai "bukan kafir harbi kerana tidak membawa kemudaratan kepada kedudukan Islam dan umatnya".

MCA malah pernah mengugut untuk meninggalkan BN sekiranya Umno cuba melaksanakan hukum hudud - rancangan yang disifatkan parti itu sebagai cadangan yang "hilang akal".

Pengerusi biro profesional MCA, Datuk Chua Tee Yong menyatakan ancaman itu pada awal bulan lalu susulan cadangan daripada seorang ADUN Umno Johor supaya Umno melaksanakan hudud di negeri itu dan juga di seluruh negara.

Seterusnya, Abdullah mendakwa umat Islam berdosa jika menyokong parti yang membawa kepada kemenangan DAP dalam pilihan raya.

"Perjuangan DAP tidak terima perlembagaan negara, mereka mahu sama rata Islam dan bukan Islam, kuil dan masjid juga mahu sama rata.

"Wajib orang Islam dalam PAS, Umno dan PKR menolak DAP yang mencari jalan hendak menguasai negara melalui undi pada pilihan raya," katanya seperti dipetik akhbar itu.

Beliau memberi alasan, parti yang bekerjasama dengan DAP itu bergabung di bawah satu pakatan.

Laporan berkenaan turut menampilkan keratan akhbar Utusan Malaysia bertarikh 7 Mei 1990 berhubung syarat yang dikemukakan pemimpin DAP, Karpal Singh supaya PAS mengugurkan niat untuk membentuk negara Islam sekiranya ingin bekerjasama dengan DAP.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS