Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin hari ini memperolokkan tindakan negeri-negeri pimpinan Pakatan Rakyat menggunakan tiga tema kemerdekaan alternatif yang berbeza.
"Sebangsa, Senegara, Sejiwa, Tapi Tiga Tema," sindirnya.
Justeru, menulis di Twitter tengah hari ini, Khairy berkata, tindakan itu menunjukkan Pakatan seperti tidak sependapat.
Pakatan hari ini mengumumkan Pulau Pinang dan Selangor akan menggunakan tema "Sebangsa, Senegara, Sejiwa"; manakala Kelantan menggunakan "Menerajui Perubahan" dan Kedah dengan tema "Terus Berbakti".
Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali menjelaskan, exco negeri Kedah dan Kelantan memutuskan tema masing-masing sebelum Pakatan membuat keputusan untuk menggunakan tema "Sebangsa, Sebangsa, Sejiwa".
Bagaimanapun, Mustafa berkata semua empat negeri akan menggunakan logo sama yang akan diumumkan pada Khamis
Umno Cheras: Isu kecil pun tak sepakat
Sementara itu, Umno Cheras pula berkata, penggunaan tiga tema berbeza itu membuktikan pakatan pembangkang tidak sepakat dalam membuat sesuatu keputusan.
"Ini jelas menunjukkan di kalangan mereka tidak sepakat dalam membuat sesuatu keputusan.
"Bagaimana pula kesannya kepada negara dan rakyat jika mereka berpeluang memerintah," kata ketua bahagian itu Datuk Syed Ali Syed Abas Alhabshee ( kiri ).
Dalam reaksi segeranya kepada Malaysiakini hari ini, Syed Ali berkata, langkah itu juga menunjukkan Pakatan sengaja mempolitikkan tema itu yang didakwa kini diterima seluruh rakyat Malaysia.
"Rakyat perlu sedar kalau dalam isu yang kecil mereka gagal sepakat bagaimana pula keputusan yang lebih besar dan penting jangan jadikan negara huru hara dek kepentingan dan ideologi masing masing," katanya melalui SMS.