Wakil rakyat PKR Abdullah Sani Abdul Hamid menyifatkan dakwaan beliau mendera secara mental dan menghalau isterinya Halimah Mohd Sahat daripada rumah, seperti disebarkan di blog, bohong semata-mata.
Ahli Parlimen Kuala Langat itu berkata, dakwaan sama yang dibuat isterinya melalui laporan polis juga tidak benar.
"Mana ada. Semua itu bohong. Di bulan Ramadan ini saya nak katakan, semua yang ada dalam blog itu, laporan polis yang dia (Halimah) buat bohong.
"Dia kata keluar rumah sehelai sepinggang. Mana ada. Bohong. Dia juga ada sebuah rumah apartmen di Desa Pandan yang telah diubah suai. Perabot juga telah siap dibeli. Setiap bulan pun saya beri dia duit nafkah," katanya kepada Malaysiakini .
Abdullah ( kanan ), bekas pemimpin kesatuan sekerja itu bagaimanapun memberitahu mereka dalam proses penceraian dengan isteri pertamanya itu.
Sebuah blog anti-Pakatan Rakyat dikenali sebagai Sel13.com pada 31 Julai lalu mendakwa Abdullah menghalau Halimah setelah beristeri muda dengan seorang mak andam yang juga aktivis Wanita PKR Hulu Langat.
Blog itu juga memetik Halimah sebagai mendakwa menjadi mangsa penderaan mental, termasuk gangguan daripada isteri kedua yang sering mengganggu supaya menerima madu.
Menurut Sel13.com lagi, Halimah ( kanan ) mendakwa pernah ditengking dan tidak dibenarkan masuk ke rumah bagi mengambil barang dan dokumen peribadinya selepas pulang daripada kampung.
Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Abdullah menjelaskan, perselisihan dalam keluarganya sebenarnya berlaku apabila Halimah enggan bermadu dan "tidak suka" pada ibunya.
"Ibu saya sakit angin ahmar. Jadi sebagai anak lelaki saya ambil dan jaga dia. Tapi isteri saya tak suka dan suruh saya halau ibu saya.
"Kalau diberi pilihan siapa saya perlu halau, saya akan pilih dia (Halimah). Isteri kita boleh cari tapi ibu tak boleh," katanya.