Kerajaan tidak akan mampu menjana pendapatan secukupnya jika duti eksais kereta dihapuskan, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
"Kalau ikut Pakatan semua dia hendak turunkan. Harga kereta dia hendak turun. Harga minyak dia hendak turun. Sedangkan di negeri yang diperintahnya semuanya naik.
"Kalau semuanya hendak diturunkan dari mana hendak dapatkan sumber pendapatan negara?" soal Ismail sewaktu ditemui selepas sesi dialog bersama sekumpunan artis di Kuala Lumpur malam tadi.
Beliau mengulas cadangan Pakatan untuk menurunkan harga kereta dengan memansuhkan duti eksais yang diumumkan Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli.
Langkah itu juga akan menjadi sebahagian daripada manifesto Pakatan dalam pilihan raya umum ke-13 akan datang.
Menurut Ismail, janji terbaru Pakatan itu juga tidak praktikal kerana mereka didakwa gagal melaksanakan manifesto dalam pilihan raya umum yang lepas.
"Sebelum dia perintah dia akan janji apa-apa sahaja. Apa yang berlaku di negeri dia, jelas dia gagal untuk mengotakan apa yang dijanjikan," kata Ismail.
Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop turut mengecam cadangan itu yang disifatkan akan menyebabkan keadaan ekonomi tidak stabil.
Nor Mohamed mendakwa cadangan itu akan menjejaskan pembangunan infrastruktur negara terutamanya di Sabah dan Sarawak serta pedalaman semenanjung Malaysia.