Lima tahun lalu, peguam Rosli Dahlan telah dimalukan apabila dia ditangkap dan digari oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) di firma guamannya dan kemudiannya, sehari sebelum Hari Raya, didakwa atas tuduhan tidak mematuhi prosedur agensi tersebut untuk mengisytiharkan asetnya.
Hari ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memutuskan untuk menarik balik rayuannya di Mahkamah Tinggi, terhadap keputusan Mahkamah Sesyen membebaskan Rosli.
Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Sazali Mohamad memaklumkan perkara itu kepada Hakim Datuk Mohd Azman Hussin hari ini.
Berikutan ini, Hakim Azman merekodkan penarikan balik rayuan
tersebut.
Rosli (kanan dalam gambar), ketika ditemui, berkata sejak dari awal lagi beliau menegaskan bahawa beliau tidak bersalah dan tidak sepatutnya didakwa.
"Saya mempersoalkan pihak pendakwa mengapa mereka lewat memberitahu saya mengenai keputusan mereka untuk menarik balik (rayuan).
"Jika tidak, saya tidak akan memfailkan afidavit untuk mencabar rayuan tersebut," katanya.
"Malah, peguam saya telah menyediakan hujah untuk permohonan itu dan sekarang saya perlu membayarnya," katanya berseloroh.
Rosli telah diwakili oleh peguam K Kumaraendran. [Baca berita penuh]
Sementara itu, Bernama melaporkan, pada 20 Disember 2010, Hakim Mahkamah Sesyen Abu Bakar Katar melepas dan
membebaskan Rosli daripada pertuduhan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya di akhir kes pendakwaan.
Rosli, 51, dihadapkan ke mahkamah pada 12 Oktober 2007, atas dakwaan menerima notis seperti yang dikehendaki oleh Timbalan Pendakwa Raya di bawah Seksyen32(1) (b) Akta Pencegahan Rasuah 1997 bertarikh 17 Julai 2007, supaya memberikan pernyataan yang benar dan mendedahkan segala maklumat yang diketahui olehnya.
Maklumat yang perlu didedahkan secara bertulis dengan bersumpah atau berikrar adalah mengenai harta alih atau tidak alih yang dimiliki tertuduh atau harta yang dia mempunyai kepentingan dan segala punca pendapatan, perolehan atau
asetnya.
Rosli didakwa telah dengan sengaja tidak mematuhi terma-terma notis tersebut dalam pernyataan bersumpahnya bertarikh 20 Sept 2007, apabila tidak mendedahkan
maklumat yang dikehendaki.
Perbuatan itu didakwa dilakukannya di pejabat Timbalan Pendakwa Raya, Ibu Pejabat Badan Pencegah Rasuah (BPR) Putrajaya pada 21 Sept 2007, mengikut Seksyen 32 (2) Akta Pencegahan Rasuah 1997 yang boleh dihukum penjara minimum 14 hari dan maksimum 20 tahun dan dikenakan denda tidak melebihi RM100,000.
Sementara itu Rosli, yang diwakili peguam Datuk K. Kumaraendran, ketika ditemui pemberita di luar mahkamah berkata penarikan balik rayuan itu adalah hadiah ulang tahun kelahirannya yang jatuh pada bulan ini dan bersyukur kerana
pada Ramadan ini kesnya berakhir setelah didakwa di mahkamah, juga pada bulan Ramadan lima tahun lepas.