Rakyat tidak harus mempercayai sepenuhnya kejadian jenayah yang disebar menerusi media sosial, sebaliknya mereka perlu mendapatkan kesahihan berhubung perkara itu melalui sumber yang
boleh dipercayai.
Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata ini kerana terdapat jenayah yang disebar media sosial hari ini sebenarnya adalah kejadian lama.
"Penyebaran ini dilakukan bagi menggambarkan seolah-olah jenayah di negara hari ini tidak terkawal, sedangkan ia kejadian lama.
"Jadi, mereka yang membaca atau melihat sebarang berita atau maklumat seperti ini diharap dapat merujuk kepada pihak-pihak berkenaan seperti polis sendiri bagi menentukan kesahihan sesuatu perkara itu," katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa peringkat Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur semalam.
Beliau turut menyifatkan perbuatan itu sebagai tidak bertanggungjawab dan tidak bermaruah.
"Buat apa kita nak beri gambaran bahawa negara kita tidak selamat. Saya gesa mereka yang melakukan perkara yang tidak bermanfaat seperti ini dapat menghentikannya segera," katanya.
Sementara itu, sebagai inisiatif berterusan bagi mengurangkan kadar jenayah, Ismail berkata seramai 300 anggota polis Bukit Aman digerak untuk meronda di lokasi yang dikenal pasti Kontinjen Selangor dan Kuala Lumpur sebagai lokasi tumpuan.
"Lokasi ini juga dikenal pasti berdasarkan aduan daripada orang ramai. Setiap hari ada pegawai polis yang berpangkat sehingga Superintenden dan Konstabel di Bukit Aman turun padang, khususnya di lokasi seperti di pusat membeli-belah, lokasi tertentu di Brickfields, Bangsar dan Damansara," katanya.
Beliau berkata langkah ini dapat memberi keyakinan kepada masyrakat bahawa polis akan terus melindungi mereka daripada ancaman jenayah, dan jumlah anggota bertugas bergantung kepada keadaan, mengikut keperluan semasa.
"Kita juga telah capai persefahaman dengan pengusaha pusat membeli-belah untuk melatih 'house detective' mereka iaitu pegawai keselamatan yang bertugas di pusat beli-belah bagi meningkatkan keupayaan mereka menjaga keamanan," katanya.
Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan sagu hati RM3,000 kepada balu bekas anggota polis yang bertugas ketika darurat dan anggota yang cedera semasa Perhimpunan Aman.
- Bernama