Kelab Taat Suami (KTS) mendakwa pihak berkuasa tidak pernah mengadakan sebarang sesi dialog untuk memahami perjuangan pertubuhan itu.
"Kami melihat di mana-mana pun, hal sesat ini itu lumrah kalau kita memperjuangkan sesuatu, (pasti) ada penentangan.
"Tapi sebenarnya tuduhan itu dibuat tanpa soal-siasat," kata presidennya, Fauziah Ariffin.
Beliau mendakwa, selain daripada pegawai tertinggi badan penguasa agama, sebahagaian besar daripada kakitangan organisasi seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sebenarnya menyokong perjuangan kelab itu.
"Kalau dalam Jakim itu, orang-orang bawahnya kita jumpa
mereka terima kita dengan baik. Ada beberapa orang sahaja yang tukang buat keputusan dan sebagainya (yang tak terima kita).
"Kalau kita jumpa orang-orang biasa, pegawai-pegawainya, mereka menyokong kita," katanya.
Penghujung tahun 2011, Jakim bertindak mengharamkan buku panduan seks terbitan KTS bertajuk "Seks Islam, perangi Yahudi untuk kembalikan seks Islam kepada dunia".
Awal tahun ini juga, Jabatan Agama Islam Perak (Jaipk) menyerbu forum KTS di Ipoh yang mengangkat Nabi Muhammad sebagai tokoh seks suci Islam.
Malah, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim turut menyifatkan KTS sebagai pertubuhan yang gilakan publisiti.
Menurut Fauziah, tekanan dan pandangan serong pihak berkuasa terhadap KTS dan juga Global Ikhwan sebagai kumpulan serpihan Al-Arqam, ternyata memberi kelebihan apabila ada pihak yang tambah bersimpati dengan perjuangan mereka.
"Persepsi orang terhadap Al-Arqam ini begitulah...tapi apabila kita berada di luar negara kita lihat contoh yang berlaku, menteri-menteri datang (rasmi majlis) kita. Mereka lihat kita jadi penghubung kepada dunia. Mereka pun salute (tabik).
"Itu yang kita tahu hanya segelintir sahaja (yang label kami sesat). Duta-duta, konsul di luar negara apabila kami cerita mereka pun menyokong. Mereka pun tahu kami ini bekas Al-Arqam," katanya.
Tegasnya lagi, KTS mahu pun Global Ikhwan tidak pernah bercadang menghidupkan kembali gerakan tersebut.
Sebaliknya mereka mahu mengajak "manusia kembali kepada Al-Quran".
"Yang penting kita bukan nak tegakkan Al-Arqam, kita nak
tegakkan Tuhan. Fokus kita nak kembalikan manusia kepada Tuhan," katanya.
Pada masa yang sama katanya, KTS dan Global Ikhwan tetap akan mendekati masyarakat untuk menyampaikan mesej dakwah mereka.
Salah satu pendekatan yang digunapakai KTS dan Global Ikhwan sekarang adalah dengan menjadikan pertubuhan itu lebih 'arus perdana'.
Salah satu daripadanya adalah dengan membuka perniagaan di dalam dan luar negara dengan kerjasama penduduk setempat.
"Biasanya (perniagaan) itu bergantung kepada negara yang kita buka (perniagaan). Tetapi biasanya ada orang tempatan yang akan membantu sebab biasanya perlukan orang tempatan untuk lesen dan sebagainya," katanya.
Selain itu, mereka turut memilih untuk berpakaian seperti orang kebanyakan dan wanitanya tidak lagi mengenakan purdah.
"Dulu waktu kita pakai hitam semua, kerajaan haramkan. Kita jadi (kumpulan) masyarakat yang orang bagi fokus.
"Kita tak dibenarkan Jakim pakai hitam sedangkan kita sebenarnya hendak ajak orang kembali kepada Tuhan, jadi sebab itu kami masuk mainstream pakaian macam orang biasa.
"Kalau takdirnya kami ini boleh pakai purdah semula, memang kami akan pakai purdah semula.
"Yang penting bagi kami, kami dapat berhubung dengan masyarakat," katanya.
Dalam temubual yang sama, beliau turut membetulkan persepsi salah tentang poligami dalam Global Ikhwan dan KTS.
Menurutnya, walaupun Kelab Poligami dan KTS bernaung di bawah Global Ikhwan, tetapi amalan poligami sebenarnya tidak diamalkan secara berleluasa dalam pertubuhan itu.
"Kalau kita kata Global Ikhwan ini ada empat ribu staf, yang berpoligami itu sekitar 300 sahaja," katanya.
Malah katanya lagi, mereka yang berpoligami dalam pertubuhan itu biasanya terdiri daripada mereka yang memimpin jemaah di atas kapasiti tertentu.
Mereka juga akan hanya berpoligami selepas mendapat cadangan dari Ashaari Mohammad, seorang pemimpin yang menurut Fauziah mempunyai kebolehan mengenal perwatakan orang lain "secara hati dan roh".
Tugas mencadangkan siapa yang perlu berpoligami itu kini dilaksanakan oleh pimpinan tertinggi jemaah selepas kematian Ashaari.
"Poligami ini kita sangat menjaganya, kita hanya memilih orang yang kriterianya ada kepimpinan sebab dia perlu bertanggungjawab terhadap keluarganya," katanya.
1. KTS: Hudud bukan penyelesaian masalah sosial | Remove | |
2. Kelab Taat Suami: Tiada rogol dalam perkahwinan | Remove | |
3. 'Kelab Taat Suami bukan untuk rekrut ahli Al-Arqam' |