Kelab Taat Suami (KTS) berpendapat, istilah rogol tidak wujud dalam perkahwinan kerana isteri merupakan sumber seks halal kepada suami.
Menurut presidennya Fauziah Ariffin, kelab itu menganjurkan kepada para isteri supaya berperanan sebagai penghibur kepada suami mereka, selain menjalankan tugas-tugas asas seperti menyediakan makan dan minum untuk suami dan ahli keluarga lain.
"Kalau begitu (wujud istilah rogol dalam perkahwinan) apa tujuan perkahwinan? Tujuan manusia berkahwin untuk halalkan apa yang tidak halal sebelumnya.
"Ia sebagai jalan keluar agar suami tidak buat jahat, berzina dan ke neraka.
"Kamu kata kamu cinta suami kamu tapi bila dia nak layanan kamu, kamu tak beri. Cinta apa?
"Kalau perempuan itu mengharapkan syurga Tuhan, tentulah dia sanggup berkorban," kata Fauziah yang merupakan isteri kedua kepada bekas seorang pemimpin tertinggi Al-Arqam.
Kelab pro-poligami itu diasaskan melalui kumpulan syarikat Global Ikhwan Sdn Bhd yang ditubuhkan oleh bekas pemimpin Al-Arqam selepas kumpulan tersebut diharamkan sejak 1994.
Serpihan Al-Arqam, Rufaqa Corporation Sdn Bhd juga menerima tindakan sama pada 2006.
Pandangan berkenaan berbeza sama sekali dengan undang-undang sivil yang mempunyai peruntukan khusus untuk kesalahan rogol dalam perkahwinan.
Di bawah Seksyen 375A Kanun Keseksaan, seorang suami yang cuba mendapatkan seks secara paksa daripada isterinya boleh dihukum penjara untuk tempoh sehingga lima tahun jika sabit kesalahan.
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) pada tahun 2004 juga berpendapat perbuatan merogol isteri adalah satu kesalahan di bawah Perkara 16(1)(c) Konvensyen Menghapuskan Semua Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita PBB.
Peruntukan itu menetapkan setiap pasangan mempunyai hak yang sama di dalam sebuah perkahwinan dan keganasan terhadap wanita dalam perkahwinan menjadikan wanita lebih lemah dan lelaki lebih berkuasa.
Menurut Fauziah, seorang suami secara nalurinya akan menjadi bertimbang rasa jika perempuan itu sendiri pandai melayan suami mereka.
Bentuk layanan yang patut diberikan kepada suami juga, adalah salah satu perkara yang diajarkan KTS kepada ahli-ahlinya, jelas Fauziah.
Rambut bau bawang
"Kita akan cerita pada wanita bagaimana untuk menjadikan suami dia seorang yang 'mahu' dan sebagainya. Sebab itu perempuanlah yang memainkan peranan, dia menghiburkan suami.
"Perempuan sekarang ini bukan tak pandai nak layan tetapi ilmu itu tidak ada pada dia. Sepatutnya apa yang pelacur buat, itulah yang isteri perlu buat.
"Apabila isteri itu beri layanan (kelas pertama), automatik suami itu akan memberi respon (yang baik).
"Yang kita tengok sekarang dalam masyarakat isteri letih apabila suami balik (rumah), rambut pun bau bawang, serabai bertocang.
"Sedangkan di luar dia tengok perempuan cantik tapi di rumah dia tak dapat benda itu," kata Fauziah.
Namun begitu, beliau menegaskan KTS tidak mengadakan sebarang kelas praktikal kepada ahlinya seperti disangkakan orang ramai.
"Kita mengajar panduan kepada orang yang patut, yang halal. Kita bukan keluarkan figure (gambarajah), itu memang Allah tak bagi.
"Kita bukan buat praktikal, tunjuk gambar, tidak. Kita buat secara tertutup," katanya.
Mengulas kontroversi berkenaan "layanan pelacur kelas pertama" yang pernah disebut KTS, Fauziah menjelaskan ia adalah satu perumpamaan kerana orang ramai tidak dapat membayangkan 'layanan seperti bidadari' yang perlu diberikan isteri kepada suami.
"Kena layan suami lebih dari pelacur kelas satu, takkanlah suruh jadi pelacur pula.
"Saja (ada) orang nak bagi gimik (untuk KTS). Kita cuma bagi perumpamaan," katanya.
Seks oral dibolehkan
Pada masa sama, KTS juga berpendirian bahawa seks oral boleh diamalkan di antara pasangan yang berkahwin.
Pandangan itu berbeza dengan undang-undang sivil yang mengkelaskan seks oral sebagai satu kesalahan di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan.
Di bawah seksyen itu, mereka yang bersalah boleh dikenakan hukuman sebat dan 20 tahun penjara.
"Allah sebut dalam Quran isteri kamu adalah ladang bagi kamu, buatlah apa-apa pun yang kamu suka pada dia, cuma jangan berlaku liwat. Itu sahaja. Jadi kita sudah ada garis panduan," katanya.
Menurutnya, seks oral juga merupakan satu lagi cara untuk suami isteri melakukan hubungan badan apabila isteri dalam pantang atau sewaktu didatangi haid.
"Jadi katakanlah isteri dia uzur, dan dia cuma ada seorang sahaja isteri, jadi suami boleh buat perkara dibolehkan dan membuat hubungan suami isteri (secara oral) selagi mana dia tidak memasukkan alatnya ke situ (liwat).
"Katakan isteri dalam pantang, tetapi Allah cipta suami dia seorang yang keperluannya tinggi dalam soal-soal seks ini, hendak tunggu berapa hari lagi?
"Jadi tanggungjawab isteri itulah untuk memberi kelegaan kepada nafsu suaminya supaya suaminya tidak terjerumus ke dalam neraka," kata Fauziah yang memiliki ijazah pertama dari sebuah universiti Australia.
Menurutnya lagi, lelaki secara semula jadi mempunyai keinginan yang tinggi terhadap seks.
Malah katanya, nabi-nabi dan rasul juga diketahui umum sebagai mereka yang memiliki kekuatan luar biasa di ranjang.
"Kalau kita baca kitab-kitab, yang paling hebat dalam melakukan hubungan suami isteri ini adalah para rasul.
"Sewaktu belum ada syariat empat orang isteri, Nabi Sulaiman ada seribu orang isteri. Nabi Daud pula 99 orang isteri dia.
"Sebab itu orang yang lebih hebat iman dia, lebih terhubung dengan Tuhan ini, dia lebih hebat lagi (di ranjang).
"Tetapi orang kita yang tengok video lucah ini, dia tidak dapat pun nikmat itu kerana Allah dah halang," katanya.
Bahagian pertama: 'Kelab Taat Suami bukan untuk rekrut ahli Al-Arqam'
Wawancara dijalankan oleh Jimadie Shah Othman, Ahmad Fadli KC dan Siti Sara Ghazie.