Sekumpulan 100 orang anggota kesatuan pekerja subsidiari Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) mengadakan perhimpunan di Shah Alam hari ini bagi membantah usaha kerajaan negeri mengambil alih syarikat tersebut.
Presiden Sekumpulan anggota Kesatuan Pekerja-pekerja Perbadanan Urus Air Selangor, Abdul Aziz Ali berkata mereka akan bekerja keras untuk memastikan syarikat konsesi air SYABAS tidak diambil alih oleh kerajaan Selangor.
"Kita serah memorandum untuk bantah menteri besar nak ambil alih SYABAS. Kita kerja keras dan nak tunjukkan kita adalah kakitangan yang terbaik dan syarikat yang terbaik," katanya ketika bercakap kepada pemberita di perhimpunan tersebut.
Selain melaungkan slogan "hidup SYABAS", kumpulan itu turut membawa sepanduk, antaranya dengan slogan "Kami nak air terawat, bukan air empangan" dan "Kami sokong SYABAS".
Memorandum berkenaan diterima oleh pegawai akhbar menteri besar, Ahmad Nazuli Ismail selepas perhimpunan yang berlangsung selama kira-kira 35 minit di hadapan kompleks bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor.
Perhimpunan hari ini merupakan demonstrasi balas ke atas perhimpunan oleh penyokong kerajaan negeri Selangor pada Isnin lalu yang menyokong usaha kerajaan negeri itu.