Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kabinet tubuh JK khas isu air di S'gor, WP, Putrajaya

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Peter Chin Fah Kui berkata kabinet membentuk sebuah jawatankuasa khas untuk meneliti isu air.

NONE "Jawatankuasa khas ini akan meneliti semua isu berkaitan air di Selangor, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya," katanya kepada pemberita hari ini.

Jawatankuasa khas itu, dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, akan mula bermesyuarat minggu depan, katanya.

"Kabinet rasa isu ini dah hangat dibincang terutamanya cadangan yang diutarakan pihak SYABAS (Syarikat Bekalan Air Selangor) untuk catuan air.

"Keduanya dari segi pengumuman bahawa kerajaan negeri Selangor nak ambil alih tugas SYABAS.

"Kita akan meneliti semua perkara melibatkan isu ini dan semua perkara yang berkaitan dengan air di Selangor, Wilayah Persekutan dan Putrajaya," katanya.

Ketika ditanya, Peter Chin berkata jawatankuasa itu akan membincangkan sama ada akan ia mengadakan pertemuan dengan kerajaan Selangor.

Kemelut selesai sebelum PRU?

Ditanya sekiranya Syarikat Bekalan Air Selangor boleh meneruskan rancangan untuk mengadakan catuan air, Peter Chin berkata perkara itu juga akan dibincangkan.

"Tunggulah sehingga jawatankuasa ini bertemu dan buat keputusan, kemudian kita akan beritahu orang ramai," katanya.

Ditanya lanjut sekiranya kerajaan pusat akan berjaya menyelesaikan kemelut dengan kerajaan Selangor itu sebelum pilihan raya umum diadakan, beliau bagaimanapun enggan mengulas.

"Tiada komen," katanya.

Laporan Bernama menyebut, jawatankuasa berkenaan akan dianggotai Peter Chin, menteri pertanian Datuk Seri Noh Omar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala dan menteri wilayah persekutuan Datuk Raja Nong Chik Zainal Abidin.

Kerajaan negeri Selangor semalam mengumumkan untuk merombak barisan pegawai pengurusan kanan SYABAS melalui tindakan campur tangan ke atas pentadbiran syarikat tersebut.

Selangor juga bercadang untuk menyusun semula perkhidmatan air negeri itu, dengan mencantumkan kesemua syarikat yang terlibat dalam perkhidmatan air negeri itu dalam satu syarikat tujuan khas, kata Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim.

Kerajaan negeri kemudiannya akan membuat tawaran konsesi baru kepada SYABAS dan tiga syarikat lain yang terbabit - Puncak Niaga, Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor (Splash) dan Konsortium Abbas Sdn Bhd, kata Khalid.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS