DAP hari ini mendedahkan pengedaran sebuah akhbar anti Pakatan Rakyat tidak berdaftar yang didakwa mereka-reka kenyataan penasihatnya Lim Kit Siang berhubung isu raja-raja Melayu.
Akhbar dengan nama Selangor Kita itu dengan memetik "sumber DAP" melaporkan Lim sebagai berkata, tidak perlu menghormati pemimpin tertinggi negara Yang di-Pertuan Agong.
"Ia tidak benar. Saya tidak pernah berkata demikian.
"Pemimpin-pemimpin DAP lain juga tidak pernah berkata demikian," kata Kit Siang merujuk kepada petikan kenyataan dalam halaman kedua edisi Mei 2012 akhbar tersebut.
Dalam kenyataannya selepas itu, Lim berkata, tulisan dalam akhbar itu menyebut:
"SUMBER DAP: Lim Kit Siang dalam komennya berkata Raja-Raja Melayu semuanya Lanun. Semuanya Perompak. Kata Lim Kit Siang lagi, buat apa hormat Agong, buat habis wang ringgit cukai rakyat sahaja beri pada Raja-Raja Melayu."
Bercakap dalam sidang akhbar di Petaling Jaya pagi tadi, Lim berkata, penerbitan itu bersifat menghasut dan memberikan gambaran yang salah tentang dirinya.
"Ini adalah penerbitan yang sangat tidak bertanggungjawab untuk mewujudkan rasa tidak percaya dan kurang senang antara kaum.
"Ia juga bertujuan memberikan gambaran seolah-olah saya ini menentang sistem kesultanan Melayu dan seolah-olah saya ini tidak hormat kepada Raja-raja Melayu," katanya.
Akhbar dengan reka letak ala Selangor Kini - penerbitan rasmi kerajaan Selangor pimpinan Pakatan - tanpa nama penerbit, pengedar dan penulis itu mempunyai hanya lapan halaman dan didakwa dikesan sekitar Puchong.
Antara tajuk beritanya "PKR Selangor PENAKUT!", "Politik dendam Khalid Ibrahim tiada batasan", dan "PTPTN: Pemuda Umno bidas kerajaan Selangor".
Turut dimuatkan kenyataan dan gambar Timbalan Ketua Perhubungan BN Selangor Datuk Noh Omar yang mengkritik pentadbiran Selangor.
Sementara itu ahli Dewan Undangan Negeri Kampung Tunku Lau Weng San yang mendakwa menerima akhbar itu berkata akan membuat laporan polis petang ini.