Paras air di tujuh empangan di Selangor masih berada pada paras tertinggi, kata exco kanan Selangor, Ronnie Liu.
Justeru, beliau memberi amaran kepada Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) supaya tidak mereka kenyataan berhubung krisis air.
Liu yang memegang portfolio kerajaan tempatan berkata, beberapa ketua kampung dan ahli majlis pagi ini sudah melawat empangan berikut dan mendapati ia masih penuh.
Wakil rakyat DAP itu kemudian mempersoalkan cadangan catuan air di Lembah Klang ekoran tidak berlaku kekurangan air seperti didakwa.
"Kita tidak percaya cerita mereka kerana semua empangan dan sungai dipenuhi air.
"Kenapa perlu catu? Adakah mereka mengaku tidak tahu bagaimana merawat air secara berkesan? Sebenarnya ada banyak air mentah," katanya kepada Malaysiakini .
Beliau menambah, sekiranya SYABAS tidak mampu merawat air mentah, syarikat konsesi itu patut menyokong rancangan menteri besar untuk mengambil alih operasinya.