Peletakan jawatan Ketua Biro Hal Ehwal Guaman PKR, Latheefa Koya sebagai ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) akan dibincangkan dalam mesyuarat exco kerajaan negeri Selangor esok, kata menteri besar.
Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, walaupun beliau sendiri belum menerima surat peletakan jawatan Latheefa namun perkara itu tetap akan dibincangkan dalam mesyuarat esok.
"Saya belum terima surat itu. Namun, jika saya ada surat itu sekali pun, saya akan membincangkannya di peringkat exco esok," kata Khalid.
Sewaktu ditanya sama ada kerajaan negeri akan menerima peletakan jawatan itu, Khalid menegaskan peletakan jawatan itu dibuat Latheefa sendiri.
"Itu keputusan Latheefa Koya bukan keputusan kerajaan negeri," katanya.
Latheefa semalam diberitakan menghantar surat letak jawatan kepada Khalid selepas desas-desus beliau akan dipecat tersebar luas.
Desas-desus pemecatan itu dikatakan berpunca daripada tegurannya terhadap kerajaan negeri berhubung isu perumahan.
Dalam perkembangan sama, PKR Selangor hari ini menerusi Timbalan Pengerusinya, Zuraida Kamaruddin menggesa Latheefa mempertimbangkan semula keputusan itu.
Sementara itu, mengulas gesaan Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago gar Selangor tidak menggunakan khidmat perunding air Halcrow, Suez an Wessex Water, Khalid menyifatkannya sebagai 'keraguan' yang ositif.
Ia juga satu peringatan agar ketiga-tiga firma itu melakukan tugas mereka sebaik mungkin, kata Khalid.
"Ia bagus kalau kita ragu-ragu. Ia akan menyebabkan mereka sentiasa berhati-hati.
"Ini akan memastikan mereka mengutamakan kepentingan rakyat Selangor dalam menjalankan tugas," katanya.
Charles membuat gesaan itu kerana semua firma berkenaan turut menerima kontrak kerja dari kerajaan Persekutuan.
Dalam sidang media yang sama, Khalid sekali lagi menegaskan bahawa proses perolehan Karnival Terima Kasih Selangor sebelum ini sudah diselaraskan selepas audit yang dibuat kerajaan negeri.
Justeru, beliau berharap agar sebarang ketidakaturan yang berlaku sebelum ini tidka berulang.